TEMPATAN
Nissan Navara Versi Macho, PRO-4X Bakal Lancar 16 April Ini
Sebelum pelancaran Nissan Navara yang dipertingkatkan, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) terlebih dahulu mempersembahkan varian paling tinggi dan macho dalam keluarga trak pikap itu menerusi PRO-4X.
Jentera yang bakal dilancarkan pada 16 April ini menjadi model pertama Navara yang menggunakan nama PRO-4X. Ia juga bakal bersaing dengan trak pikap jenama lain seperti Ford Ranger WildTrak dan juga Toyota Hilux 2.8 Rogue.

Dimensinya juga berbeza apabila ia lebih panjang 5mm, lebar (+25mm) dan tinggi (+15mm), cuma jarak roda yang masih sama dengan model sebelumnya.

Logo Nissan juga bukan lagi berwarna krom, tetapi menerima kemasan merah untuk membuatkannya lebih garang.

Pintu but belakang baharu yang digunakan kini lebih ringan untuk dibuka dan ditutup, selain dilengkapi bampar yang mempunyai tempat pemijak kaki. Biarpun kapasiti ruang kargonya masih sama, ia kini mempunyai tempat pengikat yang didatangkan sebagai ciri standard.

Tidak lupa juga, bahagian meter dilengkapi Paparan Digital Bantuan Pemandu Termaju bersaiz tujuh inci untuk memberi maklumat berhubung trak pikap berkenaan. Navara PRO-4X ini juga lebih mesra dengan gajet, apabila mempunyai empat USB untuk Type-C dan Type-A.

Selain peningkatan bahagian dalaman dan luaran, sistem keselamatan juga dinaik taraf dengan teknologi Nissan Intelligent Mobilty untuk memberi perlindungan penumpang serta pemandu.

Ciri lain yang ada membabitkan Intelligent Predictive Foward Collision Warning, Intelligent Foward Emergency Braking, Intelligent Driver Alertness, Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert, High Beam Assist, Blind Spot Warning dan Intelligent Moving Object Detection.

Cuma Navara PRO-4X ini dilengkapi dengan sistem Electronic Locking Rear Diffrential baharu yang memudahkan untuk kawalan sekiranya terperangkap dalam lumpur atau pasir.

Bagi pilihan warna, ia ditawarkan empat pilihan iaitu kelabu, merah, putih dan hitam. ETCM buat masa ini, masih lagi mengunci mulut mereka tentang harganya. Kita tunggu sahaja ketika pelancarannya pada 16 April ini!

Must-Watch Video