Antarabangsa

Nissan Note Generasi Ke-3 - Tampil Ringkas Dan Moden, Tetapi Hanya hibrid e-Power Sahaja

gempak
Erywan
27/11/2020
08:14 MYT
Sponsor Banner
Nissan Note Generasi Ke-3 - Tampil Ringkas Dan Moden, Tetapi Hanya hibrid e-Power Sahaja
Nissan Note mungkin kurang dikenali di peringkat antarabangsa namun ia adalah satu daripada model Nissan paling popular di halaman sendiri iaitu di Jepun. Kini, MPV kompak itu sudah memasuki generasi ketiga dan tidak seperti sebelumnya, ia hanya ditawarkan dengan trenkuasa hibrid e-Power.
Dari segi reka bentuk, Note hadir dengan konsep rekaan terbaru Nissan, Timeless Japanese Futurism yang mengenengahkan penampilan ringkas tetapi moden. Jeriji V-Motion masih digunakan dan kini dihiasi dengan corak tradisional Jepun. Ia diapit oleh sepasang lampu tajam yang mempunyai empat projektor LED.
Selain itu, Note turut mendapat rim aluminium berukuran 16 inci yang menampilkan penggayaan ala bilah pedang. Untuk model terbarunya ini, Nissan menawarkan 13 pilihan warna luaran termasuk warna dua tona, Vivid Blue dan Opera Mauve.
Ruang kabinnya pula menggunakan konsep minimalis dengan konsol tengah yang diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi bagi menghasilkan ruang di bawahnya, selain membolehkan pemandu mencapai tuil gear lebih mudah. Antara teknologi yang disertakan termasuklah panel instrumen digital dan pengecasan tanpa wayar pada konsol tengah.
Tempat duduk Zero Gravity dengan perehat tangan yang besar menawarkan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh, begitu juga dengan tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan. Tambah Nissan, Note menawarkan ruang lega kaki dan kepala yang luas, serta bukaan ‘tailgate’ yang besar bagi memudahkan pengguna mengakses ruang but.
Trenkuasa hibrid e-Power menampilkan motor elektrik dan inverter yang dijana oleh enjin petrol 1.2-liter. Jumlah output keseluruhan tidak didedahkan namun menurut Nissan, kuasa meningkat sebanyak 6 peratus dan tork meningkat 10 peratus, manakala inverter 40 peratus lebih kecil dan 30 peratus lebih ringan. Enjin itu dikatakan lebih efisien berbanding sebelum ini dengan julat operasi RPM yang lebih rendah.
Selain hibrid, Note juga boleh didapati dalam versi elektrik sepenuhnya yang memanfaatkan motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang. Versi ini akan dilancarkan pada Disember ini.
Untuk keselamatan, Note dilengkapi sistem ProPILOT dengan Navi-Link menggunakan navigasi untuk menetapkan kelajuan kenderaan mengikut had laju yang disediakan. Sistem ini juga menggunakan data navigasi memperlahankan kenderaan sebelum memasuki selekoh.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live