Nissan Serena Facelift - Jeriji Alphard?
Nissan mendedahkan Serena versi facelift yang sudah mula dijual di pasaran Jepun. Model MPV itu hadir dengan imej luaran dan dalaman yang lebih terkini, diiringi dengan pelbagai teknologi keselamatan pintar sebagai ciri standard.
Berkenaan dengan imej, Nissan memberikan Serena penampilan yang lebih menarik terutamanya pada bahagian hadapan dengan jeriji V-Motion berkembar dan lampu utama yang direka semula. Ia juga mendapat bampar baharu yang kelihatan lebih ‘tajam’ dengan spoiler terbina.
Bagi pasaran Jepun, Serena boleh didapati dalam 14 pilihan warna termasuk dua warna baru iaitu Sunrise Orange dan Dark Metal Gray. Kedua-dua warna terbabit boleh dipadankan dengan bumbung Diamond Black.
Satu kelengkapan terkini adalah lampu adaptif LED yang menggunakan kamera untuk mengesan kenderaan dari arah hadapan.
Dari segi keselamatan pula, Serena facelift mendapat ciri Intelligent Blind Spot Intervention, Blind Spot Warning dan Emergency Assist for Pedal Misapplication sebagai standard.
Ciri ProPilot turut ditambahbaik dan kini ia dikatakan lebih lancar ketika membrek dan juga mampu mengekalkan kelajuan seperti yang ditetapkan oleh pemandu ketika melalui jalan berbukit.
Seperti sebelum ini, Serena kekal dengan pilihan enjin MR20DD 2.0 liter dan enjin MR20DD-SM24 bagi model S-Hybrid. Turut dikekalkan adalah model e-Power yang menampilkan rangkaian kuasa HR12DE-EM57 yang merangkumi enjin 1.2 liter dan motor elektrik.