Jika anda mempunyai anak ramai dan mahu memiliki kenderaan lebih besar, mungkin Nissan Serena 2.0L S-Hybrid adalah pilihan yang tepat.

Lagi pun, harga yang ditawarkan boleh dikatakan agak kompetitif apabila dijual pada RM135,500 bagi varian Highway Star, manakala Premium Highway Star mencecah RM147,500.

Buat masa ini, ia boleh dikatakan satu-satu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang cukup menarik, selain luas dan besar.

Imej luaran tidak membosankan

Jika dilihat pada bahagian luarannya, Nissan Serena tampil dengan reka bentuk baharu sepenuhnya dan lebih sporty.

Penulis paling tertarik dengan perumah lampu hadapan LED berkembar apabila ia tampil unik kerana terbahagi kepada dua bahagian iaitu atas dan bawah.

Lampu belakangnya juga menggunakan lampu LED, tetapi kelihatan berbentuk ‘S’ yang mana ia memudahkan pengguna mengenalinya ketika berada di jalan raya.

Nissan Serena turut didatangkan teknologi terbaru yang pertama dalam kelasnya dan nyata memberi lebih kemudahan.

Ia membabitkan Pintu Gelongsor Berkembar Bebas Tangan. Ini bermakna ia beroperasi dengan satu pergerakan kaki yang mudah di bahagian bawah pintu untuk membuka atau menutup apabila tangan penuh dengan barangan.

Kedua adalah Pintu Belakang Berkembar yang boleh dibuka dengan mudah, walaupun di ruang parkir yang sempit. Bingkai cermin belakang boleh dibuka tanpa membuka but untuk mengisi barang ke dalam ruang kabin.

Bagi penulis, kedua-dua fungsi itu boleh dikatakan ciri yang paling canggih dan sangat berguna kepada penggunanya.

Ruang dalaman yang selesa

Sepanjang memandu ujinya baru-baru ini, penulis boleh katakan kelebihan Nissan Serena 2.0L S-Hybrid terletak pada bahagian dalamannya yang mana ia luas dan banyak kegunaannya.

Malah ruang dalaman Nissan Serena baharu tampil moden dan premium dengan kehadiran panel Instrumen kemasan lembut hadir serta reka bentuk yang memberikan rasa lebih terbuka.

Cuma rasa seperti berada dalam akuarium kerana terlalu banyak cermin yang mengelilingi jentera ini.

Jentera yang memiliki tujuh tempat duduk itu kini hadir dengan ruang dalaman 180mm lebih panjang, selain 20mm tinggi dan 65mm lebar berbanding model terdahulu.

Ruang dalamannya adalah yang paling besar dan paling fleksibel dalam kelasnya.

Tempat Duduk Sifar Graviti adalah satu ciri keistimewaan jentera terbabit dan yang pertama dalam kelasnya.

Ia sangat terbukti apabila mampu mengurangkan keletihan ketika penulis mengharung perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang baru-baru ini.

Bagi tempat duduk baris kedua pula, ia menggunakan kerusi jenis Kapten dengan perehat tangan. Pada masa sama di bahagian hadapannya dilengkapi meja khas untuk melatak bekas minuman atau makanan.

Selain itu, Nissan Serena baharu itu masih mengekalkan kombinasi tempat duduk dan ruang kargo yang pelbagai seperti model terdahulu.

Ia mampu menawarkan sehingga 13 konfigurasi tempat duduk yang berbeza bagi memenuhi apa jua keperluan.

Malah ia memiliki 7 Port USB yang pasti dapat memenuhi keperluan mengecaj peranti setiap penumpang.

Ruang kokpit rekaan terkini

Pada ruang kokpit pula, penulis tertarik dengan sterengnya dibalut kulit yang rata pada bahagian bawahnya bersama butang Kawalan Jelajah.

Cuma kekurangan pada stereng itu, ia tidak dilengkapi butang kawalan bunyi audio.

Kluster tengah asimetri menempatkan Paparan Skrin Sentuh Audio Clarion premium bersaiz 6.75 inci dan Sistem Kawalan Suhu Automatik Dua Zon melengkapkan lagi penampilan ruang dalaman yang canggih.

Malah segala maklumat kenderaan dan pemanduan dipamerkan di Paparan Bantuan Pemandu bersaiz 7 inci (ADAD) berwarna.

Prestasi sesuai pemanduan santai

Prestasi MPV ini sudah cukup jika memandu bersama keluarga.

Ia bukannya dibina untuk pemanduan yang laju dan agresif, tetapi sesuai gaya santai dengan kelajuan purata 110 sehingga 130 kilometer sejam (km/j).

Jika menaiki bukit, Nissan Serena 2.0L S-Hybrid juga memberi bermasalah dan boleh dikatakan cukup lancar.

Kuasa yang dibekalkan adalah enjin 2.0L (MR20DD) Twin CVTC (Continuously Variable-valve Timing Control) yang dipadankan dengan transmisi XTRONIC CVT (Continuously Variable Transmission) bersama ciri Adaptive Shift Control (ASC).

Ia mampu menyalurkan kuasa maksimumnya sehingga 150PS pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm.

Bercerita berhubung tahap penggunaan bahan apinya, ia boleh mencecah purata 14.2 km/L (NEDC R101) sekali gus menerima status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Pengendalian yang stabil dan selesa

Dari segi pengendaliannya pula, ia menawarkan pemanduan yang selesa di lebuh raya terutama dalam kelajuan antara 120 sehingga 130km/j.

Suspensinya juga bermain dengan baik yang mana pemandu dan penumpang tidak rasa penat jika memandu dalam perjalanan jauh.

Cuma jentera ini tidak sesuai jika melayan selekoh pada kelajuan tinggi, kerana bentuknya yang sedikit tinggi dan membuat penulis rasa kurang yakin.

Sekiranya mencari MPV untuk pengangkutan keluarga besar, Nissan Serena 2.0L S-Hybrid perlu ada dalam senarai anda.

>>Klik di sini untuk galeri gambar Nissan Serena 2.0L S-Hybrid