Selepas empat bulan diperkenalkan di pasaran Jerman, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mula melancarkan Passat 2.0TSI Elegance baharu bagi pasaran Malaysia.

Kenderaan segmen sedan eksekutif itu diperkenalkan pada acara Geneva Motor Show lalu yang menerima perhatian dalam segmen kenderaan keluarga/eksekutif.

Ia juga tampil dengan rekaan luaran dan dalaman serba baharu, aspek ketersambungan yang ditambah baik dan signatur lampu yang dikemas kini.

Ruang Luaran Menarik
Apa yang menariknya adalah penampilannya lebih mantap dan dinamik. Rekaan baru profail hadapan dan belakang membezakan Passat sebelum ini.

Perbezaan lain termasuklah perkataan “Passat” yang dilekatkan pada bahagian belakang dan rim aloi “Liverpool” bersaiz 18 inci yang menarik.

Karekter Passat diserlahkan lagi dengan lampu signatur yang direka semula, sistem lampu utama LED sepenuhnya, lampu isyarat membelok berturutan di hadapan dan belakang. Rekaan lampu belakang pula melengkapkan lagi penampilan keseluruhannya.

Kabin Lebih Kemas

Ruang dalaman antara aspek yang sudah dinaik taraf ialah kemasan pintu rekaan baru, 30 pilihan warna lampu ambien dan stereng multi fungsi dibalut kulit.

Stereng itu dilengkapi butang multi fungsi yang ergonomik untuk kemudahan dan ketersambungan dengan satu sentuhan butang sahaja.

Keselesaan sememangnya satu keutamaan, jadi tempat duduk Passat baharu dibalut dengan kulit lembut dan 12 talaan secara elektrik bersama sistem penyaman udara Climatronic 3-zon untuk semua penumpang. Ciri baru yang turut dipasang ialah pelindung cahaya matahari cermin belakang kuasa.

But seluas 586 liter memberikan cukup ruang kepada pemandu dan penumpang untuk meletak bagasi mereka.

Ketersambungan Canggih
Passat baharu menawarkan ketersambungan pintar di hujung jari anda. Digital Cockpit bersaiz 11.7 inci baharu dan ditambah baik menawarkan kejelasan yang luar biasa.

Ia menawarkan pelbagai fungsi, selain memaparkan grafik 2D dan 3D untuk tujuan navigasi serta media. Enam pandangan skrin boleh ubah pula menawarkan aspek personalisasi ke satu tahap baru dengan lebih 30 pilihan kombinasi.

Sistem infotaimen berskrin bersaiz 9.2 inci itu kini lebih mudah dioperasi dengan kawalan suara, gestur dan skrin pandangan yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

Ciri AppConnect tanpa wayar dengan Apple CarPlay turut ditawarkan pada Passat buat pertama kalinya di Malaysia. Ciri-ciri lain termasuklah rangkaian pilihan ketersambungan yang luas menerusi skrin paparan sentuh kapasitif, tiga port USB-C beriluminasi dan ketersambungan Bluetooth untuk penstriman audio dan peranti mudah alih.

Prestasi 190PS dengan Tork 320Nm

Di bawah bonet hadapan, Passat baharu dikuasakan enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift 7-kelajuan (DSG) baharu. Ia mampu menjana kuasa yang mengagumkan sehingga 190PS dan dan tork 320Nm.

Dari segi tahap penggunaan bahan apinya, Passat menggunakan petrol dengan purata 6.5l/100km, berdasarkan kepada data pemanduan dalam dunia sebenar seperti yang dijelaskan oleh WLTP (Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Selari Dunia).

Ciri Keselamatan
Keselamatan adalah aspek penting pada semua kenderaan Volkswagen. Jadi, ciri baharu yang ada pada Passat ialah Side Assist dengan Rear Cross Traffic Alert, lengkap bersama jarak pengesanan 18 darjah sehingga 50 meter.

Ketika memandu, Sistem Pemantauan Titik Buta pada Passat baharu memastikan kereta sentiasa berada dalam laluannya, dengan jarak pengesanan mencecah 70 meter.

Ciri kemudahan yang turut ditambah ialah Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dengan alat pengesan bersepadu pada keempat-empat unit tayar. TPMS berfungsi memantau bacaan tekaan setiap tayar berdasarkan kepada kehendak pengguna.

Selain itu, ciri-ciri keselamatan lain termasuklah Electronic Stability Control (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Hill-hold Control, Automatic Post-Collision Braking System dan Proactive Passenger Protection System.

Warna dan varian
Passat Elegance baharu didatangkan enam warna dan dua kemasan. Warna metalik terdiri daripada warna biru (Aquamarine Blue), kelabu (Manganese Grey), perak (Reflex Silver) dan coklat (Tamarind Brown). Sementara warna dengan efek mutiara ialah hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) yang baru. Warna-warna Mutiara ini boleh didapati tanpa sebarang penambahan harga.

Harganya