Pasukan PROTON R3 (R3) dan Proton Iriz 2019 menguasai Pusingan 4 Siri Kejuaraan Malaysia 2019 (MCS) dengan meraih dua kemenangan, sekali gus menjadikan pemandu-pemandu pasukan, Fariqe Hairuman dan Syafiq Ali sebagai pemenang keseluruhan bagi kelas M-pengeluaran.

Pada masa sama, Proton Saga 2019 turut berlumba buat kali pertama yang dipandu oleh Admi Shahrul yang membuat kemunculan semula.

Selepas layak pada tapak perlumbaan yang ketujuh, jentera baharu itu berjaya menduduki tempat keempat dalam perlumbaan pertamanya sebelum berjaya mendapat podium di tempat ketiga dalam perlumbaan kedua pada hari Ahad.



Selepas memenangi perlumbaan selama satu jam pada Pusingan 4 MCS di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Pasukan PROTON R3 kini mendahului kedua-dua kategori pemandu dan pasukan dalam kejuaraan bagi kelas M-Pengeluaran.

Dengan hanya satu pusingan lagi dalam siri 2019, pasukan itu yakin mampu mengekalkan kedua-dua gelaran. Dalam perlumbaan pertama, Suprima S dan Iriz milik pasukan PROTON R3 memulakan perlumbaan di barisan hadapan dan terus kekal pada kedudukan itu.

Pengendalian hebat dan sokongan pit yang padu berjaya membawa kedua-dua kereta itu menamatkan saingan di kedudukan 1 serta 2 di mana Iriz peroleh tempat pertama.



Saga pula menduduki tempat keempat dan membuktikan bahawa model itu turut dilengkapi kelajuan dan pengendalian sama hebat untuk muncul dan memberi cabaran di perlumbaanya terbabit.

Bagi perlumbaan kedua, Iriz kekal sebagai kereta terpantas dan meraih kemenangan kedua pada hujung minggu lalu. Saga kemudian memperbaiki prestasinya dengan melebihi satu mata yang membolehkannya menduduki tempat ketiga sekali gus mendapatkan kedudukan podium untuk perlumbaan pertamanya itu.

Ketua Pasukan PROTON R3, Gary Lee berkata, pusingan keempat perlumbaan MCS sangat mencabar kerana pihaknya mahu mencapai mata tertinggi dan pada masa yang sama berusaha untuk meningkatkan keupayaan kereta lumba Iriz dan Saga 2019.

“Kedua-dua kereta mempamerkan kehebatan masing-masing, terima kasih kepada kualiti prestasi kereta, dan kami akan menggunakannya untuk perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) edisi 2019.

Bagi MCS pula, tinggal satu lagi pusingan dan kami yakin dapat mencapai sasaran dan mengekalkan kedua-dua gelaran juara," katanya.




Sementara itu, R3 mempelawa pereka Malaysia yang berbakat untuk menyertai pasukannya di S1K Melalui Pencarian Pelumba Wanita dan Program Mentor yang diumumkan untuk mengendalikan kereta-kereta Proton di dalam siri Malaysia Speed Festival (MSF).

Pasukan PROTON R3 melancarkan satu peraduan yang membolehkan peserta menyertai pasukan itu dan turut berpeluang melihat sendiri rekaan mereka diletakkan pada kereta lumba PROTON.



Peraduan Design For Speed
menjemput semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghantar rekaan paling kreatif mereka untuk diletakkan pada kereta lumba Proton Saga yang akan dikendalikan oleh R3 dalam perlumbaan S1K bermula dari 22 sehingga 24 November.

Pemenang hadiah utama akan menyaksikan rekaan mereka dihiaskan pada salah satu daripada dua Proton Saga R3 yang menyertai perlumbaan itu, dan ini memastikan rekaan mereka dilihat oleh ribuan peminat perlumbaan Malaysia.

Butiran lanjut mengenai peraduan dan bagi mendapatkan templat rekaan, sila layari: https://www.proton.com/en/promotions/design-for-speed-contest-2019