Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pelanggan McLaren Boleh Tempah Livery Gulf Untuk Kenderaan Mereka

Erywan
21/10/2020 02:11 MYT
McLaren dan Gulf mempunyai hubungan rapat yang terjalin sejak era 60-an ketika kedua-dua syarikat itu mula menceburi kancah sukan permotoran.

Baru-baru ini, perjanjian antara pengeluar supercar dari Britain dan syarikat petroleum itu sudah diperbaharui dan bagi meraikannya, McLaren memperkenalkan Elva dengan livery Gulf yang dihasilkan oleh MSO.


Menampilkan gabungan warna biru muda dan oren serta warna putih untuk bahagian dalaman, roadster tidak berbumbung itu membuat penampilan sulungnya di acara Goodwood SpeedWeek di United Kingdom. Tidak seperti acara Goodwood Festival of Speed yang diadakan tahun-tahun sebelumnya, SpeedWeek diadakan secara tertutup akibat pandemik COVID-19.


Sebelum ini, livery Gulf digunakan oleh barisan jentera lumba McLaren dalam perlumbaan Can-Am, Formula 1 dan Indy dari 1968 hingga 1973. Ia juga pernah ditampilkan pada model F1 GTR yang muncul dalam beberapa siri perlumbaan termasuk Le Mans. Di bawah perjanjian baharu ini, pelanggan McLaren boleh memesan livery itu untuk kenderaan mereka terus dari MSO.


Diperkenalkan buat kali pertama pada November tahun lalu, Elva adalah model kelima dalam barisan Ultimate Series McLaren selepas F1, P1, Senna dan Speedtail. Reka bentuknya yang unik itu diinspirasikan daripada jentera lumba McLaren-Elva M1A yang pernah beraksi dalam perlumbaan Canadian Sports Car Grand Prix pada 1964.


Elva dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 815PS dan 800Nm, sekali gus membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam kurang tiga saat. Walaupun tidak mempunyai bumbung dan penghadang angin, teknologi Active Air Management System (AAMS) memastikan pemandu dan penumpang sentiasa terlindung daripada angin.


Pada mulanya, pengeluaran model ini dihadkan kepada 399 unit namun akibat masalah yang dihadapi semasa tempoh pandemik, McLaren mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah tersebut kepada 149 unit sahaja. Penghantaran dikatakan akan bermula pada tahun ini.

#McLaren
;