Kebanyakan kita sudah biasa melihat Porsche 911 yang direstorasi oleh Singer Vehicle Design yang kerap menampilkan rekaan berkelas tinggi dengan gabungan elemen moden retro.

Bagaimanapun, rekaan kali ini yang diberi nama All-Terrain Competition Study (ACS) sangat berbeza dari kebiasaannya kerana ia diinspirasikan oleh kereta lumba rali klasik.


Seperti biasa, model 911 Type 1964 menjadi pilihan syarikat restorasi dari Los Angeles itu. Mereka turut menggunakan khidmat pakar rali iaitu Richard Tuthill untuk projek kali ini.

Gabungan dua pakar ini menghasilkan jentera off-road yang cukup lasak untuk beraksi dalam perlumbaan Baja 1000 atau Dakar Rally.


Apa yang menarik, pelanggan yang mengkomisenkan ACS meminta Singer untuk menghasilkan bukan satu tetapi dua buah kereta. Unit berwarna putih Parallax White dibina khas untuk perlumbaan rali di kawasan gurun manakala unit kedua berwarna Corsica Red pula dikonfigurasikan untuk acara di atas permukaan tarmac.

Kedua-dua jentera terbabit menggunakan enjin yang sama iaitu enjin ‘Mezger’ 3.6-liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 450hp dan 569Nm dengan bantuan dua pengecas turbo.


Kuasa disalurkan oleh kotak gear berjujukan lima kelajuan menerusi sistem pacuan semua roda yang dilengkapi dengan Limited-Slip Differential (LSD) pada bahagian hadapan, tengah dan belakang.

Untuk sistem suspensi pula, Singer memasang peredam boleh laras berkembar pada setiap roda, bermakna ACS mempunyai lapan peredam kesemuanya.


Tayar yang digunakan adalah jenis BF Goodrich All-Terrain berukuran 8X16 inci, manakala sistem brek pula terdiri daripada cakera monobloc dengan angkup empat piston. Brek tangan hidraulik turut disertakan.

Selain panel badan gentian karbon, ACS turut mempunyai sangkar keselamatan dan kerusi ‘bucket’ bertaraf FIA. Ia juga dilengkapi dengan tangki bahan api yang besar untuk pemanduan jarak jauh, sistem penghidratan untuk pemandu dan penunjuk arah serta sistem navigasi GPS.


Segala aspek yang membabitkan kejuruteraan jentera ini dilakukan oleh Singer di California manakala kerja pemasangan diambil alih oleh Tuthill di kilangnya di Oxfordshire, UK.

Rekaan ini tidak eksklusif untuk pemilik asal ACS kerana orang ramai yang berminat juga boleh mendapatkan pakej restorasi yang sama dari Singer.