Pelumba berumur 15 tahun, Hayden Haikal memenangi tempat pertama bagi perlumbaan kedua di Toyota Vios Challenge di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.

Dia menamatkan perlumbaan dengan penuh bergaya selepas mampu bersaing dengan pelumba yang lebih senior daripadanya.

Kejayaan itu lebih manis apabila ia adalah kali pertama menduduki podium tempat pertama selepas menyertai Toyota Vios Challenge pada musim lalu.



Pelumba muda itu berkata, dia sangat gembira memenangi perlumbaan itu kerana Kuala Terengganu adalah litar yang sangat mencabar.

“Terus terang, saya tidak gembira dengan litar ini (Kuala Terengganu) kerana ia terlalu sukar untuk mencari peluang memotong, tetapi saya bersyukur dengan kemenangi ini,” katanya pemenang Kelas Sporting itu.

Pada awal perlumbaan, Wong Chin Eeg dari Hiewa Racing Team mendahului pelumba lain sebanyak tujuh pusingan sebelum dia melakukan sedikit kesilapan dan memberi peluang Hayden memotongnya.

Di tempat kedua pula dimenangi Wong dan diikuti Kenneth Koh (Panglima City Racing) yang tamat di tempat ketiga.



KELAS SUPER SPORTING

Bagi kategori pelumba profesional, William Ho daripada Toyotsu Racing menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Beliau cukup selesa dengan mendahului perlumbaan pada awal sehingga di garisan penamat dengan 22 pusingan di litar sepanjang 1.65 kilomter.

Di belakangnya diikuti Freddie Ang dari Pasukan Telagamas Toyota dengan jarak masa 1.93 saat dan di tempat ketiga dimenangi Kenny Lee dari Kegani Racing.

Bagi pelumba tersohor, Tengku Djan Ley (23 Motors) hanya menduduki tempat keempat, manakala Boy Wong (ST Wangan) di tempat kelima.

Ho berkata, Freddie mengekori dengan rapat dan dia cuba melakukan yang terbaik untuk menjarakkannya tetapi terbukti ia sangat sukar.

“Saya melakukan yang terbaik untuk tenang dan tidak melanggar tembok konkrit. Ia adalah untuk mengekalkan rentak saya supaya tidak terlalu memberi tekanan untuk menamatkan pusingan untuk mengumpul mata kejuaraan ini,” katanya.



KELAS PROMOTIONAL

Kondisi litar yang basah selepas hujan pada waktu petang, memberi peluang kepada penyanyi Wany Hasrita menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

Perlumbaan itu turut ditunda selama 30 minit sebelum meneruskan di belakang kereta keselamatan, Toyota Camry.

Tempat kedua dimenangi penyanyi Nabila Razali yang membuat penampilan pertama di atas podium, manakala pelakon Shukri Yahaya berada di tempat ketiga.

Wany berkata, kondisi litar basah itu membuat perlumbaan dua kali ganda lebih sukar, tetapi beliau buat yang terbaik supaya lebih tenang bagi mengelak melakukan sebarang kesilapan.



KEPUTUSAN

PROMOTIONAL

  1. Wany Hasrita
  2. Nabila Razali
  3. Shukri Yahaya
  4. Shawn Lee
  5. Diana Danielle

SPORTING

  1. Hayden Haikal-S&D Motorsports
  2. Wong Chin Eeg-Hiewa Racing Team
  3. Kenneth Koh-Panglima City Racing
  4. Dato’ Ken Foo-Kulim Topwheels
  5. Haji Sutan Mustaffa

SUPER SPORTING

  1. William Ho-Toyotsu Racing
  2. Freddie Ang-Telagamas Toyota
  3. Kenny Lee-Kegani Racing
  4. Tengku Djan Ley-23 Motors
  5. Boy Wong-ST Wangan