Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pemilik Pertama Ducati Superleggera V4 Di Malaysia, Harganya RM888,000

Erywan
11/12/2020 03:37 MYT
Pada awal tahun ini, Ducati memperkenalkan model Edisi Terhad Superleggera V4 pada peringkat global yang menjadi superbike paling mahal dalam jenama berkenaan.

Di negara ini, Ducati Malaysia turut melancarkan model berkenaan sebelum berakhirnya tahun 2020. Buat masa ini, hanya seunit sahaja yang dibawa dan ia sudah pun dimiliki. Pemilik pertama Superleggera V4 itu adalah Datuk Nazir Hussin Akthar Hussin.


Difahamkan, beliau menempah superbike itu pada awal tahun ini dan sepatutnya diserahkan kepadanya pada suku ketiga tahun ini. Namun disebabkan pendemik Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan pada hujung tahun ini.


Kenapa mahal? Ini kerana segala komponen yang dipasang superbike itu adakah terhad serta menggunakan gentian karbon. Superleggera V4 ialah satu-satunya motosikal di dunia dengan bingkai, swingarm dan rim daripada gentian karbon serta hanya terhad 500 unit sahaja dengan kod #001. Motosikal yang diserahkan kepada Nazir Hussin memiliki nombor kod 210/500.


Setiap unit didatangkan dengan sijil, nombor siri dan nombor casis dipaparkan pada kepala hendal dan kunci penghidup. Ciri utama Superleggera V4 itu dibekalkan dengan enjin Desmosedici Stradale R paling ringan dan berkuasa, V4 90° 998cc dengan berat lebih ringan 2.8kg berbanding enjin V4 1,103cc. Padanan ekzos Akrapovic versi trek bersama kit lumba meningkatkan kuasa kepada 234hp.


Kit lumba merangkumi ekzos Akrapovic titanium, penutup klac terbuka gentian karbon, penutup gentian karbon dengan slider titanium, kit ganti lampu depan dan juga lampu lain, kit ganti pemegang nombor pendaftaran, kit ganti tongkat sisi, penutup lubang cermin aluminium daripada bilet, Penganalisis Data Ducati + GPS (DDA + GPS), penutup tangki minyak perlumbaan, penutup motosikal, tongkat depan belakang dan pengecas bateri.


Berat badan lebih ringan disumbangkan juga dengan penggunahan bahan titanium, magnesium dan aluminium. Superbike itu dipadankan dengan tiga mod tunggangan Race A, Race B dan Sport. Keselesaan tunggangan diserahkan kepada suspensi Ohlins ringan dan absorber dengan gegelung titanium bersama brek Brembo dengan pam radial MCS. Tidak ketinggalan alat kawalan untuk melaraskan jarak tuil dan kaliper Stylema R.


Jentera itu turut dilengkapi dengan data koordinat garisan penamat litar Laguna Seca, Mugello, Jerez, Sepang and Losail serta pakej elektronik baharu EVO 2 untuk Kawalan Traksi Ducati (DTC) dan Quick Shifter Ducati (DQS) naik/turun. Rekaan grafik Superleggera V4 dipengaruhi Desmosedici GP19 dengan tema warna merah dan karbon serta set tayar khas Pirelli Diablo Supercorsa SP. Warna merah dan karbon adalah tema utama untuk motosikal ini.


Sebelum terlupa, harga Superleggera V4 di Malaysia mencecah RM888,000. Buat masa ini, Ducati Malaysia masih lagi membuka tempahan bagi mereka untuk memiliki Superleggera V4 itu.

#Ducati
;