Unit nombor 001/500 Ducati Superleggera V4 sudah tiba ke pemiliknya Belgian Ducatista Filip Van Schil, yang turut memiliki sembilan model Ducati yang lain.

Seperti dimaklumkan sebelum ini, pemilik pertama akan menerima jenteranya menerusi majlis khas dari pihak Ducati.


Pengeluar motosikal Itali itu menjemput Van Schil ke kilang Borgo Panigale untuk menerima jenteranya selain melawat bahagian pengeluaran untuk melihat sendiri proses pemasangan dan menemui kakitangan khas yang membangunkan enjin jentera itu.

Kemudian Van Schil berpeluang melawat muzium Centro Stile Ducati dan Jabatan Perlumbaan. Seperti pemilik yang lain, Van Schil juga berpeluang menunggang uji Panigale V4 R yang bersaing dalam Kejohanan SBK World di litar Mugello sebagai sebahagian daripada pengalaman superbike.


Van Schil berkata, apabila menerima panggilan dan jemputan Borgo Panigale untuk mengambil Superleggera V4, terasa gugup walaupun dia pemilik beberapa model Ducati.

"Jemputan seperti ini walaupun saya pertama menempah motosikal itu adalah sesuatu yang tidak pernah dibayangkan.


"Menerimanya secara langsung dari syarikat dan melihat kakitangan yang bekerja di Borgo Panigale akan jadi kenangan yang akan diingati," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, menyerahkan sendiri Superleggera V4 kepada pemilik pertama di Centro Stile Ducati.


Ciri utama Superleggera V4 itu dibekalkan dengan enjin Desmosedici Stradale R paling ringan dan berkuasa, V4 90° 998cc dengan berat lebih ringan 2.8kg berbanding enjin V4 1,103cc. Padanan ekzos Akrapovic versi trek bersama kit lumba meningkatkan kuasa kepada 234hp.

Kit lumba merangkumi ekzos Akrapovic titanium, penutup klac terbuka gentian karbon, penutup gentian karbon dengan slider titanium, kit ganti lampu depan dan juga lampu lain, kit ganti pemegang nombor pendaftaran, kit ganti tongkat sisi dan banyak lagi.