Pengeluar kereta sport kecil-kecilan dari England iaitu Ultima Sports memperkenalkan produk terbaru mereka yang dikenali sebagai Ultima RS.
Dikategorikan sebagai supercar, RS direka dengan inspirasi daripada jentera lumba Le Mans Group C dengan sebahagian besar komponen badannya diperbuat daripada gentian karbon. Reka bentuknya pula memfokuskan kepada peningkatan downforce dan prestasi aerodinamik.

Boleh digunakan di jalan raya (di United Kingdom), RS ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin V8 daripada Chevrolet. Versi LT1 mempunyai 480hp, LT4 mempunyai 650hp, manakala versi tertinggi iaitu LT5 mempunyai 800hp.

Jika 800hp masih tidak mencukupi, Ultima menawarkan pakej naik taraf yang menyaksikan kuasa meningkat secara signifikan kepada 1,200hp.
Bagaimanapun, pilihan tidak terhad kepada enjin LT sahaja kerana pelanggan juga boleh mendapatkan enjin LS3, LS7 dan LSA.

Menurut Ultima, versi LT5 mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 2.3 saat, dengan kelajuan maksimum melebihi 400km/j.
Ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana RS adalah jentera yang ringan dengan berat bermula daripada 930kg.

Tidak kira enjin apa yang dipilih, RS hanya boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan daripada Porsche.
Sistem brek yang digunakan adalah buatan jenama AP, dengan cakera berukuran 322mm dan angkup empat omboh. Cakera 362mm dengan angkup enam omboh ditawarkan sebagai kelengkapan tambahan.

Rim didatangkan dalam saiz 19 inci dan boleh dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 atau Pilot Sport 4S.
Menjadikan RS lebih menarik adalah pelbagai kelengkapan tambahan yang ditawarkan bagi menjadikan ia jentera touring yang selesa.
Ini termasuk kit ‘lift’, sistem ekzos keluli tahan karat dengan bunyi boleh laras, penyaman udara, sistem infotainmen Alpine, kamera undur dan sebagainya.