Honda Motorcycle and Scooter India dan beberapa pengeluar roda dua termasuk Hero MotoCorp mengambil keputusan untuk menghentikan sementara pengeluaran motosikal di India.

Langkah itu dibuat bagi memastikan bekalan oksigen cecair yang digunakan untuk pengeluaran motosikal disalurkan kepada pihak hospital bagi menampung kekurangan oksigen cecair bagi berdepan pandemik Covid-19.

Pada 11 Mei 20201, Yamaha Motor India mengambil langkah itu yang akan berterusan sehingga hujung bulan ini. Keputusan itu akan menyebabkan kekurangan stok motosikal jenama Yamaha di India ditambah dengan ramai pengedar menutup perniagaan bagi mengekang penularan wabak itu.

Hero MotoCorp pula melanjut tempoh penutupan sehingga suatu tarikh kelak. Pengeluar kereta terbesar India, Maruti Suzuki juga mengambil langkah sama untuk membantu kerajaan dan rakyat menangani wabak Covid-19.

Ada beberapa pengeluar komponen pengilang asli (OEM) juga menyumbang bekalan oksigen cecair dan keperluan lain untuk membantu pesakit-pesakit Covid-19 di negara Asia Selatan itu.

Hero dan Honda juga sudah membina hospital sementara pada akhir April lalu manakala Suzuki Motorcycle India pada 10 Mei lalu mengumumkan sumbangan ambulans kepada beberapa hospital. Ada beberapa unit ambulan sudah diserahkan dan baki akan dihantar pada pertengahan bulan Mei.

India mencatat purata lebih 300,000 kes positif Covid-19 baru-baru ini dan pada 11 Mei lalu, negara itu menyaksikan seramai 3,754 kematian sehari akibat Covid-19.

Sumber: RideApart