Antarabangsa
Pensyarah Cipta Perisian Lonjak Kuasa Motosikal
Siapa sangka dengan hanya menggunakan perisian buatan sendiri yang dikawal melalui telefon pintar, sistem kuasa sebuah motosikal berkuasa tinggi dapat ditingkatkan tanpa perlu membuat pengubahsuai pada enjin atau komponen lain.
Perkara itu bukanlah mustahil dan dibuktikan sendiri Pensyarah Automotif Kolej Komuniti Bandar Baharu, Kedah, Azhar Aziz. Beliau mencipta perisian itu dan memberi nama AMA PRO bagi mengubah sistem penalaan enjin motosikal BMW F800 miliknya supaya lebih berkuasa.
Berikutan model itu agak ‘rare’ dan sukar ditemui menyebabkan tidak banyak komponen atau aksesori untuk diubahsuai khususnya enjin.
Justeru bagi meningkatkan sistem kuasa jentera itu, beliau mencipta dan mengkaji perisian berkenaan. Selepas enam bulan, ternyata perisian itu boleh merubah sistem komputer jenteranya tanpa perlu dihantar ke pusat service BMW.
Perisian itu boleh meningkatkan kuasa maksimum dari 87hp kuasa kepada hampir 100hp tanpa sebarang usikan pada enjin. Selain dari kelajuan, perisian itu turut mampu mendapatkan serta memadam kod bermasalah pada sensor jentera.
Malah, ia juga mampu mengumpul data keseluruhan motosikal ketika dihidupkan dari komponen motorsikal seperti pam minyak atau penyuntik.
Ditanya berapa laju motosikalnya boleh memecut, pensyarah itu memaklumkan beliau belum pernah memulas habis pendikit minyak jenteranya dan lebih kepada tunggangan santai.
Menurutnya, perisian ciptaannya itu boleh digunakan pada motosikal berkuasa tinggi lain yang mempunyai OBD 2.
Sedikit infomasi tentang jentera keluaran 2015 itu, ia menggalas enjin bersesaran 798 cc, enam gear kelajuan dan mampu menyalurkan tenaga 87hp pada 8,000 rpm dan tork sehingga 86Nm pada 6,000 rpm.
Dari segi luaran tidak banyak yang diubah suai dan hanya menukar sistem ekzos untuk bunyi yang lebih lancar. Uniknya jentera ini ianya menggunakan ekzos bahagian kiri tidak seperti motosikal lain.
Must-Watch Video