Tempatan
Perodua agih 500 tong mini untuk kempen cegah buang sampah dari kenderaan
Perodua bekerjasama dengan sebuah agensi kerajaan Malaysia bagi mendidik orang ramai untuk mengekalkan kebersihan persekitaran, bermula dengan jalan raya.
Perodua menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Kempen 1:0 'Satu Kenderaan, Sifar Sampah' untuk mencegah pembuangan sampah dari kenderaan.
Kempen itu menyaksikan sukarelawan daripada Perodua dan SWCorp mengagihkan 500 tong mini di sebuah stesen minyak bersebelahan Plaza Tol Jalan Duta Lebuhraya PLUS menghala Kuala Lumpur, untuk mengingatkan mereka membawa pulang sampah kecil mereka dan buang di tempat sepatutnya daripada membuangnya dari kenderaan.
Sukarelawan juga mempamerkan papan tanda berwarna-warni yang memaparkan mesej-mesej anti-sampah, manakala sepanduk dan gegantung ditempatkan dengan jelas untuk menarik perhatian pemandu yang keluar dari plaza tol itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua berkongsi visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih bersih dan hijau.
“Kami percaya kombinasi pendidikan dan penguatkuasaan akan memberi impak yang berterusan dan berkekalan kepada masyarakat kita,” katanya.
“Kami berharap rakyat Malaysia dapat mengurangkan, mengguna dan mengitar semula sampah mereka sebaik yang mungkin.
Di kampus Perodua di Sungai Choh, Laman Hijau (taman rekreasi) dan ECO Garden seluas 1,500 meter, yang mana kedua-duanya menerapkan pelbagai unsur mampan. Kebanyakan bangunan di kampusnya juga dipasang dengan panel solar dan sistem penuaian air hujan.
Perodua adalah pengeluar Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) No 1 di Malaysia. Ia menghasilkan dan menjual lebih daripada 680,000 EEV sehingga kini, termasuk Axia, Bezza, Myvi generasi ketiga serta SUV tujuh tempat duduk, Aruz.
Must-Watch Video