Perodua membuka menerima tempahan bagi Perodua Axia 2019 yang diperbaharui untuk menawarkan rakyat Malaysia lebih nilai, bergaya serta ciri keselamatan canggih.

Kenderaan hatchback segmen A itu ditawarkan enam varian membabitkan E, G, GXtra, SE, AV dan varian baharu STYLE yang dijual antara RM24,090 sehingag RM43,190 (atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia).

Semua varian dikuasakan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan pemasaan injap boleh ubah pintar (VVT-i) yang disambung kepada transmisi manual lima-kelajuan pada varian E dan transmisi automatik kawalan elektronik empat-kelajuan bagi versi lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Axia adalah intipati kepada matlamat Perodua, iaitu untuk menawarkan mobiliti yang mampu milik dan mudah buat semua.

“Lebih 380,000 unit sudah menemui pemiliknya sejak pelancaran pertamanya pada September 2014, dan sebenarnya ia menjadi model terlaris kami dari 2015 hingga 2017.

“Dengan Perodua Axia 2019, kami ingin mengubah pengalaman mobiliti di Malaysia dengan menambah nilai, keselamatan dan gaya untuk memastikan Axia kekal menjadi pilihan pertama anda,” katanya.



Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 2.0) Perodua, yang pertama muncul pada SUV tujuh-tempat duduk Aruz pada Januari lalu, kini memasuki model Axia menerusi varian AV, menjadikannya kenderaan dengan ciri yang sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia.

ASA 2.0 terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (kelajuan sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (kelajuan sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (kelajuan sehingga 80 km/j), Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.

Selain itu, semua varian dari GXtra dan ke atas dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC), dan semua varian kecuali E mempunyai ABS dengan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD).

Perodua Axia menjadi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di Malaysia ketika pelancarannya pada 2014. Kini, dengan kecekapan bahan api yang dinilai 22.5 km/l untuk manual, 21.6 km/l untuk automatik dan 20.8 km/l untuk varian baharu STYLE, ia kekal menjadi antara kenderaan yang paling cekap bahan api di negara ini.

Mengenai varian baharu STYLE, Zainal berkata, Perodua mengambil langkah baharu dengan Axia STYLE, ahli keluarga Axia baharu yang akan menampilkan keseronokan dan keaktifan gaya hidup anda nantikan!”

“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi mana-mana cawangan jualan kami di seluruh negara. Penasihat jualan sah kami bersedia untuk melayani dan membantu anda serta menjawab segala pertanyaan anda mengenai Perodua Axia 2019 yang akan muncul di ruang pameran tidak lama lagi” katanya.