Perodua Axia STYLE membuat penampilan pertamanya di Sri Lanka menerusi Pameran Motor Colombo Seylan yang berlangsung di Bandaranaike Memorial International Conference Hall awal November lalu.

Pengedar tempatan Perodua, Unimo Enterprises, menerima tempahan untuk Perodua Axia STYLE di pameran terbabit dan penghantaran dijangka bermula awal tahun hadapan.

Varian Perodua Axia 2019 yang berunsurkan crossover itu ditawarkan dengan harga Rs 3.895 juta (RM89,000) di negara kepulauan berkenaan. Harga di Malaysia hanya RM38,890.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Sri Lanka adalah pasaran luar negara terbesar bagi jenama Perodua, di mana Axia disambut baik dengan kira-kira 3,000 unit dijual sejak 2015.

“Justeru ia sesuai sebagai destinasi eksport pertama bagi Perodua Axia STYLE baharu ini.

“Dilengkapkan dengan bumper yang tampil lebih lasak, Perodua Axia STYLE baharu mencerminkan gaya hidup aktif pemiliknya di samping mengekalkan semua kelebihan Axia seperti praktikaliti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta mudah dipandu,” katanya.

Lebih 2,000 Perodua Axia STYLE sudah menemui pemiliknya di Malaysia sejak pelancarannya pada September lalu, manakala Perodua Axia 2019 secara keseluruhan telah mencapai jualan lebih 10,400 unit daripada lebih 20,000 tempahan yang diterima setakat ini.

Unimo Enterprises telah menjual hampir 16,000 kenderaan Perodua sejak 1997. Barisan model mereka kini terdiri daripada Axia dan Bezza. Perodua Bezza merupakan sedan bawah 1.0 liter baharu yang terlaris di Sri Lanka.

Perodua mensasarkan eksport sebanyak 3,270 kenderaan untuk 2019, peningkatan 50 peratus daripada 2,184 unit tahun lalu. Lebih 80,000 kenderaan Perodua sudah dijual di luar Malaysia setakat ini.