Tempatan
Perodua beri sumbangan peralatan dan perbaharui ruang bermain kanak-kanak di Hospital Selayang
Dalam inisiatif Tanggungjawab Korporat terkininya, Perodua menyumbang peralatan perubatan dan mengagihkan hadiah kepada pesakit dan kakitangan di wad pediatrik Hospital Selayang.
Ruang bermain kanak-kanak juga telah diperbaharui selepas sukarelawan Perodua membersihkan ruang itu, mengecat kabinet, menggantikan kertas dinding dan siling, memasang TV pintar dan alas lantai baharu serta membeli buku dan mainan baharu.
Ruang itu tampil dengan grafik bertemakan keselamatan dan alam sekitar – topik-topik yang menjadi keutamaan Perodua. Syarikat itu merancang untuk mendidik pesakit kanak-kanak mengenai keselamatan dan alam sekitar menerusi pelbagai aktiviti pada tahun-tahun akan datang.
Perodua juga menyumbang kepada wad pediatrik sebuah pulse oximeter (peralatan yang menyukat jumlah oksigen di dalam badan) dan tiga buah skrin mudah alih. Pada masa sama, syarikat itu juga memberi paket wang dan beg tali yang mengandungi alat tulis kepada kira-kira 100 pesakit kanak-kanak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sebagai syarikat yang mengutamakan insan dan jenama yang prihatin, Perodua sentiasa mencari kaedah jangka panjang yang mampan untuk membantu dan menyumbang kepada rakyat.
“Usaha kami tidak berhenti di sini kerana pelbagai aktiviti sudah kami rancang untuk kanak-kanak di sini pada tahun-tahun akan datang, antaranya aktiviti bercerita, tayangan filem, permainan teka-teki dan origami.
“Kami juga ingin mengadakan program menderma buku untuk mengisi pusat sumber mini di sini,” katanya.
Pada Februari yang lalu, Perodua sudah menyumbang tiga buah pulse oximeter dan enam buah skrin mudah alih kepada wad pediatrik Hospital Selayang, serta mengagihkan paket wang dan beg hadiah kepada para pesakit dan kakitangan.
Must-Watch Video