Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Perodua Bezza 2020 - Kini Buka Tempahan Harga Bermula RM34,580

Erywan
03/01/2020 03:17 MYT
Selepas tular dalam media sosial beberapa hari lalu, Perodua secara rasminya membuka tempahan untuk Perodua Bezza 2020.

Perodua Bezza 2020 ditawarkan dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 V AV, berharga dari RM34,580 hingga RM49,980 atas jalan sebelum insuran di Semenanjung Malaysia.

Apa yang menariknya, ia kini dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 menerusi varian AV, menjadikannya sedan dengan ciri sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia.

Ia mampu membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.

Perodua Bezza 2020 juga tampil dengan gril hadapan dan bampar baharu, juga lampu hadapan LED dan skirt sisi dwi-tona yang kedua-duanya terdapat pada semua varian.

Varian X dan AV dilengkapi dengan rim aloi 15 inci, manakala cermin sisi berkuasa boleh laras kini terdapat pada semua varian (boleh lipat pada AV).

Dua warna luaran baharu bagi Bezza – Garnet Red (bagi varian-varian 1.3 liter sahaja) dan Granite Grey – menyertai empat warna yang sedia ada, iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.

Di samping itu, varian X kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.

Kombinasi meter beriluminasi putih menaikkan lagi gaya sudut dalaman, manakala kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sensor sisi hadapan, terdapat pada varian X dan AV. Semua varian didatangkan dengan sensor undur; varian AV turut menambah kamera undur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sebagai syarikat yang mengutamakan insan, pihaknya sentiasa mendengar pendapat pelanggan untuk mengetahui bagaimana boleh menambah baik produk dan perkhidmatan, malah Perodua Bezza 2020 adalah antara hasilnya.

“Kami berharap penambahbaikan yang dilakukan boleh bergabung dengan kelebihan-kelebihan yang sedia ada termasuk ruang bagasi seluas 508 liter dan kecekapan bahan api sehingga 22 km/l untuk memberikan pengalaman permotoran yang anda inginkan selama ini.

“Sila kunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara, di mana penasihat jualan kami yang sah sedia membantu dan memberikan maklumat lanjut kepada anda mengenai Perodua Bezza 2020, yang akan tiba di bilik pameran tidak lama lagi!” katanya.

Harga Perodua Bezza mengikut varian dan warna:

;