Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Perodua Catat Jualan Bulanan Tertinggi Dalam Sejarahnya Dengan 26,852 Kenderaan Pada Oktober lalu

Erywan
03/11/2020 06:58 MYT
Perodua berjaya mencatatkan prestasi jualan bulanan tertinggi dengan 26,852 kenderaan pada Oktober 2020, selepas memecahkan rekod jualan bulanan sepanjang sejarahnya sebanyak 25,035 unit pada September 2020.


Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pada September, pihaknya mencapai jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah dan kini, ia mengatasi pencapaian terbabit.

“Kejayaan ini penting buat kami kerana ia membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran secepat mungkin dan juga peranan kami dalam memulihara ekosistem automotif.

“Dalam Oktober sahaja, kami sudah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan, seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut terkesan dengan pandemik yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Ekosistem automotif merangkumi sektor langsung dan tidak langsung, seperti pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor. Rakan niaga tidak langsung termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.

Zainal Abidin turut berkata, dari segi kapasiti pengeluaran, pihaknya berada di 98 peratus peratus secara purata pada Oktober 2020 dengan 26,362 kenderaan, yang juga menjadi pengeluaran bulanan tertinggi daripada kilang di Sungai Choh.


Perodua sudah menjual 8,052 Myvi, 6,738 Axia, 6,895 Bezza, 3,193 Aruz dan 1,974 Alza pada Oktober. Tiga model teratas kekal sebagai kenderaan terlaris di Malaysia setakat tahun ini.

Dalam memberi lebih ganjaran kepada pelanggannya, Perodua menawarkan penebusan tunai sehingga RM1,500 untuk Perodua Aruz (tertakluk terma dan syarat) sepanjang November, ke atas amaun pengecualian cukai semasa.

Di samping itu, Perodua juga turut menawarkan rebat tunai sehingga RM2,000 untuk kenderaan pra-miliknya sehingga 31 Disember 2020. Tawaran ini hanya boleh didapati di pusat jualan Perodua KL yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

#Perodua
;