Perodua terus maju ke arah sasaran akhir tahunnya dengan jualan 23,119 kenderaan pada November 2020, termasuk 5,027 unit pada hari ke-30 sekali gus menjadi angka pendaftaran tertinggi yang pernah dicapai Perodua dalam sehari.

Dengan jualan 6,295 Myvi, 6,318 Axia, 6,224 Bezza, 2,617 Aruz dan 1,665 Alza pada November, jualan Perodua setakat tahun ini sudah mencecah 195,000 kenderaan.

Berdasarkan momentum jualannya, Perodua berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran akhir tahunnya, iaitu pendaftaran sebanyak 210,000 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan November emaparkan sedikit penormalan daripada pencapaian dua bulan rekod sebelum ini iaitu 25,035 unit pada September, manakala Oktober mencatatkan 26,852 unit.

“Rekod seharian 5,027 unit kami membuktikan bahawa ketahanan, ketekunan dan kebolehan menyesuaikan diri mampu membuahkan hasil dalam situasi ketika ini.

“Dua keutamaan Perodua pada masa ini adalah untuk memastikan seramai mungkin pelanggan kami dapat menerima kenderaan mereka sebelum akhir tahun untuk menikmati harga tanpa cukai jualan; serta untuk terus menyokong ekosistem automotif Malaysia dengan skala ekonomi kami pada masa yang sukar ini,” katanya.

Zainal Abidin turut berkata, lebih 90 peratus daripada komponen diperoleh secara tempatan dan ini menjana perniagaan yang signifikan bagi pembekal serta turut membantu mereka mengekalkan pekerjaan.