Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Perodua jalin kerjasama dengan KPDNHEP bendung produk, alat ganti tiruan

Erywan
02/07/2019 06:21 MYT
Dalam usaha menghalang perkembangan produk dan alat ganti tiruan di pasaran, Perodua mengambil inisiatif dengan menganjurkan sesi perjumpaan bersama pegawai penguatkuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di ibu pejabatnya di Sungai Choh semalam.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, pihaknya sedar bahawa terdapat banyak produk dan alat ganti tiruan di pasaran yang menggunakan jenama Perodua dan sebahagiannya sukar dibezakan dengan yang tulen.

Menurutnya, produk tiruan itu membabitkan minyak pelincir, penapis minyak, penyerap kejutan dan pad brek.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana barangan itu adalah barangan kritikal.

“Pelanggan boleh terpedaya membeli dan menggunakan barangan tiruan itu pada kenderaan mereka, ini bukan sahaja akan membatalkan waranti tetapi boleh menjejaskan keselamatan dan keadaan kenderaan mereka,” katanya.

Perodua bersama dengan pengedar servis dan stokis terpilih menyampaikan taklimat menyeluruh kepada kira-kira 120 penguatkuasa KPDNHEP, memberi pengenalan kepada pelbagai produk dan alat ganti Perodua, di mana produk dan alat ganti itu dijual, aliran logistik dan kaedah membezakan barangan tulen dan tiruan.


Hadir sama sesi taklimat itu adalah Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP, Suhaimi Mat Sari.

Zahari berkata, pihaknya berharap sesi itu memberi manfaat serta membantu tugas penguatkuasa untuk mengesan, mengenalpasti dan membanteras barangan tiruan Perodua di pasaran.

“Kami menggesa orang ramai agar tidak terjebak dengan taktik peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab yang menjual barangan tiruan Perodua.

"Beli dan pakailah produk dan alat ganti tulen Perodua daripada stokis yang sah atau mana-mana pusat servis Perodua di seluruh negara,” katanya.
#KPDNHEP #Perodua
;