Perodua meletak sasaran baharu pada tahun ini kepada 235,000 unit dengan pertambahan sebanyak 4,000 unit daripada sasaran 231,000 unit yang diumumkan Januari lalu.

Pada tahun 2018, Perodua menjual 227,243 kenderaan yang mana adalah pencapaian jualan tahunan tertinggi dalam sejarahnya.

Bagi separuh pertama 2019, Perodua menjual kira-kira 121,800 kenderaan dengan peningkatan 4 peratus daripada 117,100 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu.



Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sejak Januari sehingga Jun 2019, 190,765 tempahan diterima, iaitu peningkatan lebih 3 peratus daripada 184,949 tempahan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menurutnya, peningkatan permintaan produk Perodua dalam tempoh enam bulan pertama 2019 memberi kesan positif terhadap ekosistem automotif secara keseluruhan, dengan pembelian komponen berjumlah RM2.7 bilion dalam tempoh itu.

“Berdasarkan ramalan kami untuk separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM5.4 bilion untuk membeli komponen untuk keseluruhan 2019.

“Kami sudah mencapai satu tahap di mana kami berusaha keras untuk membina jenama kami di luar negara secara berperingkat dan berterusan.

“Walau bagaimanapun, usaha itu memerlukan masa yang panjang. Kami berharap agar kami dapat membanggakan rakyat Malaysia,” katanya pada majlis Prestasi Separuh Tahun Pertama Perodua 2019.

Menurutnya, Perodua juga bekerjasama dengan Daihatsu Motor Company Jepun untuk membangunkan lagi pembekal komponen tempatannya dan meneroka pasaran di luar Malaysia, dan itu adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk membina industri sokongan automotif Malaysia.

Mengenai ramalan untuk separuh kedua 2019, Zainal berkata, Bank Negara sudah mengurangkan kadar overnight policy (OPR), yang mana membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna.

“Dengan ini, kami percaya bahawa separuh kedua tahun ini tidak akan sehebat tahun lepas. Momentum pada separuh pertama mungkin menurun menjelang separuh kedua tahun ini,” katanya.