Antarabangsa
Perodua Myvi 2020 Hadir Warna Baru Dan Lebih Banyak Varian Dilengkapi Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0
Perodua Myvi 2020 tampil dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan serta warna luaran baharu dan sudah boleh ditempah di semua bilik pameran Perodua di seluruh negara.
Sebelum ini, sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) hanya terdapat pada varian 1.5 AV. Kini, versi yang dipertingkatkan, ASA 2.0, terdapat pada varian 1.5 AV dan 1.5 H serta ditawarkan secara pilihan pada 1.3 X.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kedatangan ASA 2.0, Perodua Myvi kini membawa tahap keselamatan dalam julat harga ini kepada aras yang baharu.
“Dengan Myvi terkini, Perodua terus membawa teknologi keselamatan canggih kepada rakyat dengan menjadikannya mampu milik,” katanya.
Myvi kini boleh didapati dalam warna luaran baharu iaitu Electric Blue (untuk semua varian). Ivory White, Glittering Silver, Lava Red dan Granite Grey (kini untuk semua varian kecuali 1.3 G) turut ditawarkan.
Sistem ASA yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran muncul buat kali pertama pada Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017, merangkumi Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 30 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 30 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.
ASA 2.0 pula muncul pada Aruz buat julung kali pada 2019. Sistem ini menambah ciri Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j) dan meningkatkan kelajuan operasi Amaran Pra-Pelanggaran dan Brek Pra-Pelanggaran kepada 100 km/j dan 80 km/j masing-masing. ASA 2.0 kemudian diperkenalkan pada Axia 2019 dan Bezza 2020, dan kini pada Myvi.