Perodua melancarkan Perodua Myvi generasi ketiga di Mauritius menerusi varian 1.3 G AT dan 1.5 H AT, dengan harga masing-masing 699,000 (RM81,300) dan 775,000 (RM90,140) Rupee Mauritius, atas jalan termasuk insurans.

Pengedar tempatan, Raouf Dusmohamud & Co Ltd, mempamerkan Perodua Myvi itu sempena acara Defi Media Motor Show yang berlangsung di Swami Vivekananda International Conference Centre pada hujung minggu lalu.

Mauritius adalah pasaran eksport ketiga bagi Myvi generasi ketiga selepas Indonesia (di mana ia dijual sebagai Daihatsu Sirion) dan Singapura.



Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua Myvi generasi ketiga sudah diterima baik di Malaysia dan pihaknya percaya rakyat Mauritius akan tertarik kepada ciri-ciri yang terdapat pada model berkenaan.

Menurutnya, Perodua berhasrat untuk mengeksport 3,270 kenderaan pada 2019, iaitu peningkatan 50 peratus berbanding 2,184 unit tahun lalu.

“Setakat tahun ini, kami sudah menjual lebih 1,600 unit di luar Malaysia dan melancarkan Myvi dan Axia masing-masing di Singapura dan Seychelles.

“Penampilan sulung Myvi di Mauritius akan mendekatkan kami kepada sasaran eksport akhir tahun ini dan secara tidak langsung meningkatkan jenama Perodua di peringkat antarabangsa, memandangkan Mauritius terkenal sebagai destinasi pelancongan yang popular,” katanya.

Perodua Myvi mempunyai kecekapan bahan api melebihi 20 km/l dan memegang penarafan keselamatan penuh ASEAN NCAP lima bintang. Gaya yang unik, ruang dalaman yang menakjubkan serta ciri-ciri pintar dan praktikal digabungkan dengan kualiti tinggi untuk memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pemandu serta penumpang.



Pengarah Urusan Raouf Dusmohamud & Co Ltd, Raouf Dusmohamud berkata, Myvi baharu adalah kenderaan canggih yang dinanti-nantikan oleh rakyat Mauritius.

“Selain itu, kami menawarkan servis percuma sehingga 30,000 km bagi Myvi, dan kini kami juga memanjangkan tawaran yang sama kepada setiap pembelian model-model Perodua kami yang lain, iaitu Alza, Axia dan Bezza,” katanya.

Negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi itu adalah antara pasaran luar negara Perodua yang paling lama. Hampir 2,400 kenderaan Perodua sudah dijual di sana sejak 1996, termasuk Kancil, Rusa, Kembara, Kenari, Kelisa, Myvi generasi pertama dan kedua, Viva dan kini Alza, Axia dan Bezza.