Perodua meneruskan inisiatif perlindungan awamnya dengan menyumbang lebih 7,700 pelindung muka kepada 66 sekolah rendah di kawasan Putrajaya dan Hulu Selangor baru-baru ini, untuk kegunaan kakitangan akademik dan sokongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, selepas menyumbang kira-kira 11,000 pelindung muka kepada sekolah-sekolah menengah di Putrajaya dan Hulu Selangor pada Jun, Perodua kini menyumbang kepada sekolah-sekolah rendah pula di kawasan-kawasan terbabit.

“Tujuan sumbangan ini adalah yang pertama untuk perlindungan, kesihatan dan kesejahteraan para murid, guru dan kakitangan sokongan.

"Kedua, sebagai tanda penghargaan kepada kerajaan atas usaha-usaha mereka dalam menangani COVID-19, dan ketiga, sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat sekeliling yang telah menyokong dan menyambut baik kami selama 27 tahun kami bertapak di sini,” katanya.


Setakat ini, Perodua sudah menyerahkan lebih 30,000 pelindung muka secara keseluruhan, antaranya kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah dan klinik-klinik Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan penjaja pasar pagi dan malam di Hulu Selangor dan Selayang.

Dihasilkan oleh satu daripada syarikat bersekutu Perodua, pelindung muka terbabit mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum.

Kusyen span pada bahagian dahi menghalang kemasukan titisan air manakala jalur elastik boleh dilaraskan untuk pemakaian yang selamat dan selesa.