Antarabangsa
Perodua Tingkatkan Pengeluaran Tahun Ini Daripada 244,400 Kepada 254,000
Perodua menyasarkan peningkatan pengeluaran sebanyak 4 peratus ke 254,000 unit daripada 244,400 unit pada 2019. Angka ini merangkumi pengeluaran untuk eksport dan penyimpanan stok untuk 2021.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua menjangkakan separuh pertama 2020 yang mencabar dan pihaknya akan memberi tumpuan kepada memenuhi tempahan sedia ada.
“Kami akan menilai semula keadaan pasaran pada separuh kedua sambil membina inventori kami supaya kami bersedia andai pasaran bertambah baik.
"Dengan peningkatan pengeluaran, Perodua menjangkakan perbelanjaan RM6 bilion tahun ini untuk membeli komponen tempatan, berbanding RM5.4 bilion tahun lalu," katanya.
Dari segi eksport 2019, Bezza menjadi sedan bawah-1.0 liter terlaris di Sri Lanka, manakala Perodua memasuki pasaran baharu, Seychelles.
Menurutnya, walaupun eksport kekal berskala kecil pada kira-kira 2,800 unit tahun lalu, Perodua akan teruskan usaha membina jenama kami di peringkat antarabangsa ke arah meningkatkan angka tersebut tahun ini,”.
Dari sudut selepas jualan, Perodua menyaksikan 2.35 juta pengambilan servis pada 2019 melalui 186 pusat servisnya di seluruh negara dengan kenaikan 8.3 peratus berbanding 2.17 juta pengambilan servis pada 2018.
Beliau menambah bahawa Perodua akan terus bekerjasama dengan para pengedarnya, yang kini membentuk 75 peratus daripada rangkaian jualan dan servisnya, untuk menaik taraf dan melabur untuk meningkatkan kepuasan pelanggan.
“Perodua mempunyai rangkaian jualan dan servis kenderaan yang terluas di Malaysia. Kami berhasrat untuk menambah baik kemudahan yang sedia ada melalui kerjasama erat dengan para pengedar kami supaya kami boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan kami yang dihargai,” katanya.
Must-Watch Video