Tempatan
Perubahan Kecil, Tetapi Masih Buat Toyota Innova 2021 Tampil Lebih Segar
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) secara rasmi melancarkan Toyota Innova 2021 dengan beberapa peningkatan dari segi penampilan serta tambahan sistem keselamatan yang ditawarkan sebagai ciri standard.
Seperti sebelumnya, Innova baru ini ditawarkan dalam tiga varian dengan harga anggaran membabitkan 2.0X, 2.0G dan 2.0E.
Perubahan kecil dilakukan ke atas Innova 2021 untuk menjadikan penampilannya lebih segar. Grilnya kini mempunyai tema krom dan hitam, sementara cermin sisi diberikan perumah krom agar lebih kemas. Lampu kabus dan rekaan dalamnya direka semula untuk menjadikan wajah depan model ini lebih menonjol.
Pakej Enhancement disertakan pada Innova 2.0X merangkumi rekaan pelapik lengkung tayarnya untuk memberikan perlindungan pada bahagian badan, begitu juga pelapik sisi badan baru serta skirting sisi rekaan baru untuk lebih sporty.
Di belakang, kemasan di pintu diberikan penggayaan baru untuk memberikan kesan visual yang lebih lebar, sementara spoiler pada bumbungnya (hanya pada Innova 2.0X) juga diprofilkan semula untuk memperbaiki aerodinamik.
Perincian rim masih dikekalkan, dengan Innova 2.0X dilengkapi rim aloi warna Dark Grey Metallic dan dibaluti tayar bersaiz 215/55R17. Bagi Innova 2.0G dan 2.0E, rim aloi warna dua-tona menggunakan tayar 205/65R16.
Kedua-dua Innova 2.0X dan 2.0G datang dengan meter Optitron berkualiti tinggi pada panel instrumennya, menjadikan paparan lebih jelas. Paparan Multi Information Display (MID) 4.2-inci juga tersedia, untuk maklumat pemanduan lain seperti baki minyak dan sebagainya.
Bagi memenuhi maklum balas pelanggan pula, lebih banyak slot pengecas USB disediakan kali ini. Di depan, terdapat dua slot berkenaan diposisikan semula pada bahagian papan pemuka (dahulu di konsol tengah) dengan satu slot tambahan untuk kerusi barisan ketiga. Sebagai tambahan, pengecas tanpa wayar turut disediakan di konsol tengah, sebagai ciri pilihan untuk semua varian.
Beberapa ciri tambahan lain turut diperkenalkan membabitkan Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) kini standard pada Innova 2.0X dan 2.0G dan ditawarkan sebagai pilihan bagi varian 2.0E. Turut melengkapi Innova 2.0X dan 2.0G ialah Peninjau Pandangan Panoramik (PVM).
Semua varian Innova dilengkapi tujuh beg udara SRS dan semua tempat duduk barisan ketiga mempunyai tali keledar 3-titik dengan regangan automatik. Selain itu, ABS dengan Agihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) serta Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) juga standard.
Pemasangan Sistem Telematik Kenderaan Toyota (VTS) sebagai ciri standard bagi varian Innova 2.0X dan 2.0G, manakala pilihan untuk 2.0E. Sistem ini membolehkan kenderaan dijejaki menggunakan teknologi GPS dan GSM. Sekiranya kenderaan dicuri, Pusat Kawalan VTS boleh mengenal pasti kedudukannya dengan segera dan memaklumkan terus pihak berkuasa.
Dari segi prestasi, ia masih menggunakan enjin 2.0 liter DOHC empat-silinder 16-injap VVT-i dengan menghasilkan 139 PS pada 5,600 rpm dan 183 Nm tork pada 4,000 rpm yang dihantar ke roda belakang. Semua varian menggunakan transmisi automatik Super ECT elektronik enam-kelajuan.
Juga sama seperti semua model lain keluaran UMWT, Innova diberikan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Bagi beri pilihan warna, ia ditawarkan dengan Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic (baru). Bagi Innova 2.0X, ada satu warna tambahan lain iaitu Crimson Spark Red Metallic.
Harga mengikut varian:
- Toyota Innova 2.0X — dari RM129,677
- Toyota Innova 2.0G — dari RM121,483
- Toyota innova 2.0E — dari RM111,622
Must-Watch Video