Kali pertama Peugeot 2008 dilancarkan adalah enam tahun lalu dan pada masa itu, SUV segmen B masih belum diterima secara meluas.

Kini, model itu memasuki generasi kedua dengan membawa pembaharuan bukan sahaja dari segi reka bentuk, malah teknologi dan kelengkapan.


Dibina di atas Common Modular Platform (CMP), 2008 baharu tampil dengan bahasa reka bentuk Peugeot terkini seperti yang diperlihatkan menerusi 508 dan 208. Paling menonjol adalah efek cakaran 3D yang terdapat pada lampu utama dan lampu belakang.

Seperti seperti sebelum ini, ruang dalaman mengetengahkan konsep i-Cockpit dengan stereng kompak, skrin sentuh digital berukuran 10 inci dan barisan suis ‘kekunci piano’ pada konsol tengah. Apa yang berbeza kali ini adalah kehadiran instrumen panel baharu dengan fungsi paparan holografik.


Selain sistem arahan suara, sistem infotainmen bagi 2008 turut merangkumi ciri navigasi TomTom, Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink. Bergantung pada varian, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem audio Focal dengan 10 pembesar suara.

2008 ditawarkan dengan enjin petrol 1.2-liter PureTech turbo tiga silinder dan diesel 1.6-liter BlueHDI dengan tahap kuasa yang berbeza.


Versi petrol didatangkan dalam pilihan 100hp, 130hp dan 155hp bagi varian GT sahaja, manakala versi diesel dalam pilihan 100hp dan 130hp. Transmisi yang ditawarkan adalah manual enam kelajuan dan automatik lapan kelajuan.

Satu lagi versi yang akan mula ditawarkan adalah versi elektrik dikenali sebagai e-2008. Ia mempunyai motor elektrik yang menjana 136hp dan 260Nm, serta bateri berkapasiti 50kWh yang membolehkannya bergerak sejauh 310km.


Pengecasan boleh dilakukan menerusi beberapa cara. Plug Legrand Green Up mengambil masa 16 jam untuk mencapai kuasa penuh, Wallbox mengambil masa antara 5 jam 15 minit hingga 8 jam, manakala terminal awam 100kW mengambil masa 30 minit untuk mencapai 80 peratus kuasa.

Dari segi keselamatan, terdapat sistem Drive Assist Plus yang mempunyai pelbagai sistem bantuan pemandu terkini seperti Lane Departure Avoidance, Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Driver Warning Alert dan Active Blind Spot Monitoring.