Tempatan

Peugeot e-Rifter, MPV Elektrik Yang Boleh Pandu Sejauh 275km Satu Cas Penuh

gempak
Erywan
22/02/2021
01:47 MYT
Sponsor Banner
Peugeot e-Rifter, MPV Elektrik Yang Boleh Pandu Sejauh 275km Satu Cas Penuh
Peugeot memperkukuhkan kedudukan mereka dalam segmen kenderaan elektrik (EV) di Eropah menerusi pengenalan model terbaharu iaitu e-Rifter. Ditawarkan dalam versi lima atau tujuh tempat duduk, MPV ini bakal memasuki pasaran menjelang akhir tahun ini.
Seperti van komersial ringan e-Partner yang diperkenalkan awal tahun ini, e-Rifter dibina di atas platform modular EMP2. Platform ini turut dikongsikan bersama model-model lain yang bernaung di bawah Groupe PSA iaitu Vauxhall Combo-e dan Citroen e-Berlingo.
Sama seperti model-model yang disebutkan itu juga, e-Rifter dikuasakan oleh sebuah motor elektrik dengan janaan kuasa mencecah 136PS (100kW) dan 260Nm. Tenaga untuk motor elektrik terbabit dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 50kWj yang diletakkan di bawah lantai supaya tidak menjejaskan ruang but.
Menurut Peugeot, e-Rifter boleh mencapai kelajuan 100km/j dalam 11.4 saat dengan kelajuan maksimum 134km/j. Jarak pemanduan yang ditawarkan dengan satu cas penuh adalah 275km, mengikut kitaran WLTP. Model ini didatangkan standard dengan pengecas 7.4kW yang memerlukan tujuh jam setengah untuk mencapai pengecasan penuh. Untuk lebih pantas lagi, pelanggan boleh mendapatkan pengecas 11kW yang boleh melakukan pengecasan penuh dalam masa lima jam atau pengecas pantas 100kW yang memberikan 80 peratus kuasa bateri dalam tempoh 30 minit sahaja.
Pemandu mempunyai tiga mod pemanduan yang boleh dipilih dengan hanya menekan satu butang. Mod Eco mengehadkan kuasa kepada 82PS dan 180Nm, manakala mod Normal pula memberikan 109PS dan 220Nm. Untuk menikmati tahap kuasa penuh, pemandu perlu memilih mod Power. Selain itu, terdapat juga dua mod brek janaan semula iaitu Moderate dan Increased.
Selain konfigurasi tempat duduk berbeza, e-Rifter boleh didapati dalam versi Standard dengan tapak roda berukuran 4.4m atau Long dengan tapak roda yang lebih panjang iaitu 4.75m. Kapasiti but adalah dari 775liter bagi versi Standard lima tempat duduk sehingga 4,000liter bagi versi Long dengan tempat duduk yang dilipat sepenuhnya.
Dari segi kelengkapan, spesifikasi Allure Premium didatangkan dengan rim aluminium 16 inci manakala GT pula dengan rim 17 inci untuk penampilan lebih sporty. Kelengkapan lain yang disertakan termasuklah i-Cockpit dengan paparan lapan inci, ciri ketersambungan telefon pintar, kamera undur serta sistem keselamatan seperti Lane Departure Warning, Automatic Collision Alert, Automatic Emergency Braking, Speed Sign Recognition, Blind Spot Monitoring, dan Hill Start Assist.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live