Peugeot tawar dua caravan - Partner Alpin Camper dan Traveller iBox
Erywan
26/08/2019 08:36 MYT
26/08/2019 08:36 MYT
Kenderaan jenis caravan atau camper van mempunyai permintaan yang agak tinggi di benua Eropah, maka tidak hairanlah ada pengeluar yang menawarkan produk masing-masing bagi menembusi pasaran itu.
Satu daripada pengeluar itu adalah Peugeot yang bakal memperkenalkan dua produk terbaru mereka di Caravan Salon 2019 di Dusseldorf, Jerman pada penghujung bulan ini.
Yang pertama adalah model Partner, dengan kelengkapan yang telah dipasang oleh sebuah syarikat Jerman yang pakar dalam ‘conversion’ iaitu Alpin Camper.
Menggabungkan keluasan sebuah van dan keselesaan kereta penumpang, Partner Alpin Camper dilengkapi dengan ruang memasak dengan dapur gas, sinki, tangki untuk air bersih dan air buangan, serta peti sejuk.
Sebuah katil berukuran berukuran 112cm x 195cm dengan tilam setebal 60mm memastikan pemandu mendapat rehat yang secukupnya. Jika cuaca terlalu sejuk, penumpang boleh menggunakan pemanas kabin yang disediakan.
Partner boleh didapati dengan dua pilihan enjin turbo diesel iaitu 1.6 BlueHDI dengan 75PS dan 1.5 BlueHDI dengan 130PS, atau enjin turbo petrol 1.2 PureTech dengan 110PS. Kamera undur serta ciri bantuan parkir hadapan dan belakang membolehkan ia memasuki tapak perkhemahan dengan mudah.
Satu lagi camper van yang akan dipamerkan adalah berasaskan model Traveller yang mempunyai lima hingga lapan tempat duduk, dan ruang storan yang fleksibel.
Ia juga didatangkan dengan modul pelbagai fungsi iBox dari syarikat Irmshcer Automobilbau. Kelebihan iBox adalah ia boleh memuatkan katil berukuran 192cm x 140cm, ruang mandi serta ruang memasak dalam pakej yang kompak.
Katil boleh dilipat untuk mendapatkan ruang kabin lebih luas, manakala minuman boleh disejukkan di dalam kotak khas yang disediakan. Bukan itu sahaja, beg bumbung yang diperbuat daripada mesh memberikan lebih banyak ruang simpanan.
Traveller didatangkan dengan enjin 1.5 BlueHDI dengan tiga tahap kuasa berbeza iaitu 120PS, 150PS dan 180PS. Antara ciri bantuan pemandu yang disediakan adalah Cruise Control dan Hill Start Assist.