Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.

Pada masa sama, PKPB akan turut dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini hingga 26 Oktober ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling dan Gombak.

Menurutnya, aktiviti yang dilarang adalah seperti pergerakan keluar masuk atau merentas daerah, tetapi mereka yang perlu merentas daerah, individu itu perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

"Selain itu, hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

"Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan. Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan," katanya sebentar tadi.

Bagaimanapun semua kegiatan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa. Senarai prosedur Operasi Standard (SOP) lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.