Pernah memenangi perlumbaan 24 Jam Le Mans sebanyak enam kali, pelumba terkenal dari Belgium iaitu Jacky Ickx menyambut hari jadinya yang ke-75 pada 1 Januari lalu.

Sebagai tanda penghormatan kepada pelumba itu, Porsche memperkenalkan 911 “Belgian Legend Edition” yang terhad kepada 75 unit untuk pasaran Belgium sahaja. Ini adalah model edisi terhad pertama bagi 911 generasi 992.

Menggunakan varian Carrera 4S sebagai asas, model ini menerima sentuhan khas daripada divisyen Porsche Exclusive Manufaktur dan Style Porsche, serta input daripada pengimport rasmi Porsche di Belgium iaitu D’Ieteren.

Model ini menampilkan warna eksklusif ‘X Blue’ yang digunakan pada bahagian badan dan rim. Rim Carrera Classic itu dihiasi dengan jalur putih seperti mana yang pernah digunakan pada helmet Ickx suatu ketika dahulu.

Selain itu, apa yang membuatkan model ini lebih menonjol adalah lencana bendera negara kelahiran Ickx serta tanda tangan pelumba itu yang boleh ditemui pada tiang B sebelah pemandu.

Sentuhan eksklusif Porsche diteruskan pada bahagian dalam, di mana terdapatnya tulisan “Belgian Legend Edition” pada pelindung ambang pintu dan tanda tangan Ickx pada perehat tangan. Tanda tangan beliau juga ditampilkan pada kunci, yang hadir dalam warna X Blue yang sama.

Tidak seperti Carrera 4S biasa, model edisi terhad ini mendapat tempat duduk sport dengan ciri pelarasan 18 cara dan sulaman ‘911’ pada bahagian perehat kepala. Tempat duduk tersebut turut dihiasi dengan perincian Pebble Grey dan kemasan kulit pada bahagian belakang.