Sempena Kejohanan Porsche Carrera Cup Asia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) mengambil peluang untuk melancarkan kereta ikoniknya menerusi generasi kelapan model 911.

Bagi pasaran tempatan, ia ditawarkan dengan dua varian berbeza iaitu 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S.


Generasi kelapan 911 itu ditambah dengan ciri baharu berbanding sebelum ini, rimnya juga lebih besar di mana di hadapan dipadankan 20 inci, manakala 21 inci di belakang.

Pada bahagian hadapan, bentuknya lebih lebar 45mm dan menghidupkan semula ciri 911 sebelum ini dengan ciri bonet yang lebih memanjang. Selain dilengkapi perumah lampu utama LED dan diperkemaskan lampu siang empat-titik.


Bahagian belakang model itu turut menjalani perubahan dengan tampak lebih lebar, spoiler boleh laras dan palang lampu yang elegan. Spoiler belakang bagi model baharu itu adalah 25 peratus lebih lebar serta padanan lampu belakang yang memanjang membuatkan ia tampak kemas.

Ruang kabin juga direka semula supaya kelihatan lebih harmoni dengan menerapkan ciri tradisional, tetapi dipadankan ciri berteknologi tinggi.


Pada skrin 10.9 inci sesentuh pada bahagian tengah berfungsi sebagai Porsche Communication Management (PCM).

Pada masa sama, jentera sport itu kini didatangkan dengan Mode Wet yang dibangunkan untuk mengesan air di jalan raya dan ia dipadankan pada semua varian 911 baharu.


Sistem itu akan memberi amaran kepada pemandu, yang mana penetapannya boleh diubah dengan menekan butang atau tukar mod pada roda stereng (Sport Chrono Package).

Kedua-dua varian itu menggunakan enjin enam silinder rata pengecas turbo yang menyalurkan 450hp pada 6,500rpm dengan tork setinggi 530Nm antara 2,300 sehingga 5,000rpm. Kuasa itu disalurkan ke transmisi lapan kelajuan PDK yang dibangunkan semula.


Enjin itu sebenarnya lebih mantap berbanding sebelum ini kerana outputnya meningkat 30hp serta tork lebih bertambah sebanyak 30Nm. Dari segi prestasinya, kedua-dua varian itu boleh memecut 0-100km/j dalam 3.7 saat dengan kelajuan maksimum 308km/j.

Seperti yang anda tahu, ini adalah jentera berprestasi Porsche yang tidak boleh dipertikaikan lagi keupayaannya. Ia dijual pada harga bermula RM1.15 juta bagi 911 Carrera S, manakala 911 Carrera 4S bermula RM 1.22 juta.