Tempatan
Porsche 911 GT3, Hujung Minggu Di Litar Hari Biasa Pandu Ke Pejabat
Porsche melancarkan 911 GT3 baharu yang mana ia adalah edisi ketujuh kereta berprestasi tinggi yang dibangunkan dengan kerjasama sukan permotoran Porsche.
Dari segi prestasinya, Porsche 911 GT3 dikuasakan enjin enam silinder boxer berkapasiti 4.0 liter yang diambil dari rangkaian kuasa 911GT3 R yang sudah diuji dalam perlumbaan endurance. Ia mampu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 502hp dengan tork setinggi 465Nm.
Bagi memberi pilihan, ia ditawarkan dengan dua kotak gear iaitu transmisi automatik PDK dan manual enam kelajuan. Dengan kelajuan tertinggi 318km/j dengan transmisi PDK, ia boleh dikatakan lebih laju berbanding dari 911 GT3 RS sebelum ini. Ia juga boleh memecut 0-100km/j dalam 3.4 saat sahaja.
Selain itu, 911 GT3 dipadankan ciri aerodinamik yang diambil dari sukan permotoran untuk meningkatkan downforce tanpa menjejaskan koefisien seretannya. Ia kini menggunakan spoiler dan diffuser untuk meningkatkan tekanan aerodinamik untuk mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Ia juga terbukti lebih pantas di litar Nürburgring Nordschleife selepas mencatatkan 17 saat lebih pantas berbanding pendahulunya dengan jarak pemanduan 20.8 kilometer.
Biarpun reka bentuk badan lebar, penggunaan roda dimensi besar dan tambahan ciri teknologi lain, berat 911 GT3 itu masih sama dengan pesaingannya. Bagi mengurangkan beratnya, ia menggunakan bonet gentian karbon-plastik diperkuatkan (CFRP), kaca cermin ringan, cakera brek yang dioptimumkan termasuk roda aloi tempaan serta penutup untuk ruang tempat duduk belakang. Sistem ekzosnya juga dikurangkan berat sehingga 10 kilogram.
Ruang kokpitnya pula, ia masih seperti model generasi sebelum ini tetapi memiliki ciri baharu seperti skrin trek. Selepas menekan butang, ia mengurangkan paparan digital lain terutama pada bahagian kiri dan kanan meter rev, di tengahnya, tetapi maklumat lain seperti penunjuk tekanan tayar, tekanan minyak, suhu minyak, takat bahan api dan suhu air masih lagi boleh dibaca kerana ia penting ketika memandu di litar.
Ia juga dilengkapi dengan bantuan penukaran gear yang mempunyai penunjuk berwarna yang diambil daripada teknologi sukan permotoran.
Terutama untuk model Porsche GT, semakin ramai pelanggan meminta untuk mengubahsuai jentera masing-masing mengikut kemahuan mereka. Berikutan itu, Porsche Exclusive Manufaktur turut menawarkan perkhidmatan berkenaan seperti bumbung ringan gentian karbon, bahagian atas cermin luaran yang terbuat dari karbon, lampu utama matriks LED gelap dan padanan lampu belakang reka bentuk eksklusif dengan busur cahaya tanpa komponen merah. Di ruang kabin, pemilik boleh memilih untuk jam randik Sport Chrono, tali pinggang keledar dan jalur trim dalam warna badan atau sebaliknya.
Bagi pasaran Malaysia, semua pusat jualan Porsche sudah pun membuka pra-tempahan bagi 911 GT3. Harganya pula, masih lagi belum diumumkan secara rasmi.