Tempatan
Porsche 911 GTS (992), Kuasa Dipertingkatkan 20Nm Berbanding Versi Sebelumnya
Selepas dua tahun setengah berada di pasaran, barisan model Porsche 911 (992) kini menerima model terbaru iaitu 911 GTS. Ia boleh didapati dalam versi Coupe, Cabriolet dan Targa, dengan pilihan pacuan roda belakang dan semua roda. Ini menjadikan lima varian kesemuanya iaitu Carrera GTS Coupe, Carrera GTS Cabriolet, Carrera 4 GTS Coupe, Carrera 4 GTS Cabriolet dan Targa 4 GTS.
Semua varian dikuasakan enjin turbo enam silinder sebaris bersesaran tiga liter dengan kuasa berjumlah 480PS dan 570Nm, iaitu 20Nm lebih tinggi berbanding GTS yang terdahulu. Transmisi manual tujuh kelajuan ditawarkan sebagai alternatif kepada kotak gear PDK lapan kelajuan yang dipasang secara standard. Dari segi prestasi, varian Carrera GTS Coupe dengan transmisi PDK dan pacuan roda belakang mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 3.3 saat.
Penampilan model ini boleh dibezakan dengan perincian-perincian luaran berwarna hitam yang sebahagian daripada pakej SportDesign. Ini termasuk pada lampu hadapan dan belakang, spoiler, rim, gril penutup enjin dan tulisan ‘GTS’ pada bahagian pintu dan belakang.
Di dalam, model GTS mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti stereng GT Sport, pakej Sport Chrono, aplikasi Porsche Track Precision, sistem infotainmen Porsche Communication Management dan tempat duduk Sport Plus dengan sokongan lateral empat hala. Selain trim gentian karbon, upholsteri Race-Tex digunakan untuk membalut tempat duduk, stereng, pemegang pintu, tombol gear dan perehat tangan.
Casis GTS terdiri daripada gabungan sistem suspensi yang lebih rendah sebanyak 10mm dan peredam aktif Porsche Active Suspension Management (PASM). Ia dipadankan dengan rim ‘centre locking’ berukuran 20 inci dan 21 inci yang diambil daripada 911 Turbo. Satu lagi komponen yang diambil daripada model itu adalah sistem breknya.
Pelanggan yang mahukan lebih prestasi boleh memilih pakej Lightweight Design yang merangkumi tempat duduk ‘bucket’ yang diperbuat daripada gentian karbon plastik (CFRP), kaca tingkap sisi dan belakang yang lebih ringan serta bateri yang lebih ringan. Tidak cukup dengan itu, tempat duduk belakang juga dibuang, memberikan penjimatan berat keseluruhan sebanyak 25kg.