Dalam sedar tak sedar, sudah 25 tahun berlalu sejak Porsche Boxster diperkenalkan buat pertama kali untuk menarik golongan pelanggan yang lebih muda. Bagi menyambut ulang tahun yang bermakna itu, Porsche telah memperkenalkan Boxster ’25 Years’.


Terhad kepada 1,250 unit sahaja, model edisi terhad ini menggunakan varian 718 Boxster GTS 4.0 sebagai asas. Ini bermakna ia mempunyai enjin aspirasi natural 4.0-liter enam silinder yang menjana 400PS dan 420Nm, dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik PDK tujuh kelajuan. Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Torque Vectoring (PTV) turut disertakan secara standard.


Dari segi prestasi, Boxster 25 Years versi PDK boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam empat saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 293km/j jika dilengkapi dengan pakej Chrono.


Apa yang menjadikan ia unik adalah elemen-elemen yang diambil daripada model konsep Boxster yang dipertontonkan pada 1993. Ini termasuk warna GT Silver Metallic dan perincian gangsa Neodyme yang digunakan untuk menghiasi lubang ambilan udara hadapan dan sisi, serta rim aloi 20 inci. Ciri menarik yang lain adalah penutup tangki minyak dengan kemasan aluminium dan tulisan ‘Porsche’ dan bingkai cermin penghadang angin berwarna hitam.


Masuk ke bahagian dalam, anda akan mendapati ruang kabin model ini dihiasi dengan upholsteri kulit Bordeaux Red dan trim aluminium pada papan pemuka dan panel pintu. Bumbung fabrik juga didatangkan dalam warna yang sama, lengkap dengan cetakan timbul ‘Boxster 25’.


Selain warna perak yang ditampilkan ini, pelanggan boleh memilih dua warna lain iaitu Deep Black Metallic dan Carrara White Metallic. Bumbung serta ruang dalaman juga boleh ditukar kepada warna hitam.


Sejak diperkenalkan pada Ogos 1996, sebanyak 375,000 unit Boxster sudah dihasilkan. Model itu kini dalam generasi yang keempat.