Antarabangsa
Porsche Lahirkan Varian Pertengahan Untuk Cayenne menerusi GTS
Porsche memperluaskan barisan model Cayenne dan Cayenne Coupe dengan satu varian terbaru iaitu GTS, yang diposisikan di antara varian S dan Turbo.
Kedua-dua model didatangkan dengan enjin twin-turbo 4.0-liter V8 dengan kuasa keseluruhan berjumlah 460PS dan 620Nm, iaitu 20PS/70Nm lebih tinggi berbanding varian S yang mempunyai enjin 3.0-liter twin-turbo V6 dan 90PS/150Nm lebih rendah berbanding varian Turbo dengan enjin yang sama.
Dipadankan dengan transmisi Tiptronic S lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Porsche Traction Management, Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe dengan pakej Sport Chrono mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.5 saat, iaitu 0.6 saat lebih pantas berbanding varian GTS terdahulu. Kelajuan maksimum pula meningkat sebanyak 8km/j kepada 270km/j.
Selain penambahan kuasa, varian GTS mempunyai kelebihan dari segi casis di mana sistem suspensi standard dengan padanan Porsche Active Suspension Management (PASM) adalah 20mm lebih rendah berbanding suspensi pada varian S. Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) turut disertakan secara standard.
Sistem brek pula terdiri daripada cakera berukuran 390mm di hadapan dan 385mm di belakang, lengkap dengan angkup berwarna merah. Untuk kuasa membrek yang lebih berkesan, pelanggan boleh memesan Porsche Surface Coated Brake (PSCB) atau Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).
Turut ditawarkan sebagai opsen adalah sistem suspensi udara yang boleh mengurangkan ketinggian sebanyak 10mm lagi, sistem kawalan stereng gandar belakang (rear-axle steering) dan Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC).
Dari segi penampilan, kedua-dua varian GTS hadir dengan pakej Sport Design yang merangkumi kemasan berwarna hitam pada beberapa bahagian, tint gelap pada lampu hadapan dan belakang, dan rim RS Spyder Design berukuran 21 inci.
Untuk ruang dalaman, upholsteri Alcantara boleh didapati pada bumbung, tempat duduk, perehat tangan dan pintu, manakala kemasan aluminium gelap menghiasi papan pemuka. Tempat duduk sport dengan fungsi larasan lapan cara dan logo GTS adalah antara ciri unik lain yang terdapat pada model ini.
Must-Watch Video