Tempatan
Porsche Macan dipertingkatkan lancar di Malaysia - Harga bermula RM455,000
Sime Darby Auto Performance, pengimport kenderaan Porsche di Malaysia memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak menerusi model Macan yang dipertingkatkan.
Jentera berkenaan dipacukan enjin pengecas turbo berkapasiti 2.0 liter yang mampu menyalurkan output 252hp serta tork mencecah 370Nm.
Seperti jentera Porsche yang lain, ia dilengkapi kotak gear klac berkembar PDK tujuh berkelajuan yang mana SUV kompak itu mampu memecut 0-100km/j dalam 6.7 saat.
Kelajuan maksimumnya boleh mencecah 225km/j dengan tahap penggunaan bahan api 8.8 liter setiap 100km.
Bagi memberi pemanduan dinamik, casis Macan dibaik pulih semula untuk meningkatkan tahap keselesaan sekali gus memberi pemanduan menyeronokkan.
Ia juga menerapkan gaya kereta sport selepas dipadankan tayar saiz yang berbeza, dan pemandu boleh menikmati pemanduan pacuan semua roda daripada Pengurusan Cengkaman Porsche (PTM). Rim 18 inci diberikan secara standard, tetapi boleh memilih 20 inci sebagai pilihan.
Ciri baharu Macan juga boleh dilihat pada perumah lampu utama belakang dengan ciri panel lampu LED tiga dimensi. Lampu itu hadir dengan rekaan empat-poin untuk memberi identiti yang berbeza.
Teknologi lampu LED juga diterapkan pada bahagian hadapan dengan ciri Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS Plus) yang mana pencahayaannya boleh dikawal mengikut kesesuaian lalu lintas. Rekaan hadapannya juga tampak berbeza apabila sedikit lebar berbanding sebelum ini.
Selain luaran, bahagian dalamannya hadir teknologi digital selepas dilengkapi Sistem Pengurusan Komunikasi (PCM). Pada masa sama, hadir dengan skrin sesentuh 10.9 inci dan ia lebih besar berbanding sebelumnya iaitu 7.2 inci.
Bagi memberi pilihan kepada pembelinya, Macan itu ditawarkan stereng sport GT dengan rekaan yang sama seperti Porsche 911. Stereng bersepadu itu dilengkapi butang mod termasuk butang Sport, dimana ia adalah pakej chrono sport tambahan.
Selain itu, pengguna boleh memilih sistem pemanas cermin hadapan dan penapis udara ioniser.
Porsche Macan hadir empat pilihan warna baharu membabitkan Mamba Green Metallic, Dolomite Sliver Metallic, Miami Blue dan Crayon. Ia dijual pada harga bermula RM455,000 tidak termasuk insurans dan jika menggunakan pembiayaan 360 Financing, bayaran bulanan dikenakan RM5,700.
Must-Watch Video