Pandu Uji
Porsche Macan - Lengkap dari segi gaya, prestasi, hebat di selekoh dan paling penting adalah jenamanya.
Sejak tiga tahun penulis menulis portal automotif, ini kali pertama diberi peluang untuk memandu uji sebuah SUV berprestasi daripada Porsche.
Bukan seperti dahulu ketika penulis menjadi wartawan automotif di sebuah syarikat akhbar tempatan. Di sana boleh dikatakan terlalu kerap menerima jemputan daripada syarikat sama untuk memandu uji jentera keluarannya, sama ada dalam atau luar negara.
Kita lupa sekejap kisah lama itu, dan tumpukan kepada model SUV kompak berprestasi dalam artikel pandu uji ini iaitu Porsche Macan versi yang dipertingkatkan. Lagi pun, ini adalah model paling menarik dalam segmen SUV yang ada di Malaysia.
SUV kompak ini sebenarnya dilancarkan untuk pasaran tempatan pada Jun lalu oleh Sime Darby Auto Performance selaku pengimport kenderaan Porsche di Malaysia.
Apa yang boleh penulis katakan, harga yang ditawarkan bermula RM455,000 tidak termasuk insurans itu, sebenarnya tidak terlalu mahal bagi sebuah jentera yang mempunyai nama dan terkenal dengan prestasinya.
Lagipun, harga itu termasuk dengan pakej premium membabitkan stereng berkuasa plus, pelindung cermin sisi belakang, cermin pandang belakang anti silau, bantuan parkir, pembesar suara Bose serta apple car play dan pelapik kaki dan kerusi boleh ubah 14 cara elektrik. Kos untuk pakej itu bernilai RM20,000, agak berbaloi!
Jika kita lihat luarannya, mungkin ada yang berpendapat ia seakan-akan sama dengan versi terdahulu. Bagaimanapun, jika diperhatikan ada pembaharuan pada model itu, ia boleh dilihat pada Teknologi lampu LED pada bahagian hadapan dengan ciri Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS Plus) yang mana pencahayaannya boleh dikawal mengikut kesesuaian lalu lintas.
Rekaan hadapannya juga tampak berbeza apabila sedikit lebar berbanding sebelum ini terutama pada jeriji dan bamparnya.
Paling jelas untuk membezakannya, adalah reka bentuk belakang. Ciri baharu Macan juga boleh dilihat pada perumah lampu utama belakang dengan ciri panel lampu LED tiga dimensi.
Lampu itu hadir dengan rekaan empat-poin untuk memberi identiti yang berbeza dan ternyata ia betul-betul menarik perhatian pemandu lain di jalan raya.
Di ruang dalamannya, tiada perubahan dari segi keluasan tetapi ia hadir hadir teknologi digital selepas dilengkapi Sistem Pengurusan Komunikasi (PCM). Pada masa sama, hadir dengan skrin sesentuh 10.9 inci dan ia lebih besar berbanding sebelumnya iaitu 7.2 inci.
Jentera pandu ini, ditawarkan stereng sport GT dengan rekaan yang sama seperti Porsche 911. Stereng ini cukup ‘sedap’ dipegang dan seolah-olah memandu sebuah kereta sport.
Stereng bersepadu itu dilengkapi butang mod pemanduan, dimana ia adalah pakej chrono sport tambahan.
Tempat duduk belakangnya ia tidak terlalu luas, tetapi masih lagi selesa untuk penumpangnya. Lagi pun, anda perlu tahu, Porsche Macan ini adalah SUV segmen kompak dan jika mahu SUV yang luas, Porsche Cayenne adalah pilihannya.
Dari segi prestasi, jentera berkenaan dipacukan enjin pengecas turbo berkapasiti 2.0 liter yang mampu menyalurkan output 252hp serta tork mencecah 370Nm.
Kuasa yang dibekalkan itu, cukup selesa untuk penulis memandu di lebuh raya. Tindak balasnya juga tidak terlalu ‘terkejut’, maksud penulis sebaik kaki menekan padel minyak, prestasinya tidak terlalu agresif dan memudahkan untuk mengawal stereng, selain memberi keselamatan yang optimum. Maklumlah, SUV ini untuk memberi keselesaan dan bukannya membuatkan anda lebih tekanan untuk mengawal kenderaan jika prestasinya terlalu agresif.
Lagipun, keistimewaan Porsche Macan ini, ia juga boleh bertukar kepada model sport yang mana boleh mampu memecut 0-100km/j dalam 6.7 saat dengan kelajuan maksimumnya mencecah 225km/j.
Cuma sepanjang penulis bersama dengan Porsche Macan ini. Penulis lebih selesa memandu dengan cara yang santai seperti pemandu lain yang mematuhi peraturan lalu lintas ketika di lebuh raya.
Jika mahu prestasi yang lebih, tekan saja butang mod yang ada sterengnya. Mod itu boleh dipilih sama Sport atau Sport Plus yang mana ia memberi kadar RPM lebih tinggi sebelum penukaran gear.
Namun di laluan berselekoh, penulis agak sedikit agresif untuk menguji keupayaan Porsche Macan ini. Ternyata SUV kompak ini cukup stabil dan membuatkan penulis lebih berani untuk mengawal kenderaan itu di selekoh. Ketika inilah penulis mencuba mod suspensi lebih sporty yang boleh diubah dengan menekan butang pada konsul tengahnya.
Kestabilannya turut berpunca daripada casis Macan dibaik pulih semula untuk meningkatkan tahap keselesaan serta dipadankan tayar saiz yang berbeza, selain dipadankan pemanduan pacuan semua roda daripada Pengurusan Cengkaman Porsche (PTM).
Boleh disimpulkan, Porsche Macan ini memang sebuah SUV kompak yang lengkap dari segi gaya, prestasi, hebat di selekoh dan paling penting adalah jenamanya.
Bagi untuk membuat pilihan lebih menarik, Porsche Macan hadir empat pilihan warna membabitkan Mamba Green Metallic, Dolomite Sliver Metallic, Miami Blue dan Crayon. Jika menggunakan pembiayaan 360 Financing, bayaran bulanan dikenakan RM5,700 untuk memiliki Porsche Macan ini.
Must-Watch Video