Dalam usaha menentang penyebaran wabak COVID-19, PROTON sekali lagi mengambil bahagian untuk membantu dan menyokong petugas barisan hadapan negara.

Selepas meminjamkan sebanyak 50 unit Proton X70 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), syarikat itu kini akan menghasilkan pelindung muka, iaitu komponen penting Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk pekerja kesihatan.



Operasi pengeluaran dijangka bermula 13 April ini di ibu pejabat PROTON di Shah Alam di mana peralatan itu akan dihasilkan oleh kakitangan yang melakukannya secara sukarela.

Syarikat menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 60,000 pelindung muka dengan tempoh selama kira-kira 20 hari.



Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed berkata, sebagai sebuah jenama automotif kebangsaan, usaha PROTON ini didorong oleh tanggungjawabnya untuk membangunkan industri kereta tempatan dan juga menyokong negara serta rakyat Malaysia sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.

“Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta jadi kami menggunakan kelebihan itu untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong wira-wira barisan hadapan negara dalam membendung penyebaran COVID-19.



“Pelindung muka yang dihasilkan akan dihantar secara berperingkat dan kami akan bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian untuk mengedarkan peralatan itu mengikut tahap keperluan di setiap daerah,” katanya.

Mengikut kepada peraturan yang ditetapkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PROTON sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk membenarkan sekumpulan kecil kakitangannya bekerja bagi menghasilkan pelindung muka di Shah Alam. Pergerakan dan waktu kerja mereka akan dipantau untuk memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.