Watch
Proton Juara ini memang ‘champion’
Jika melihat Proton Juara ini, pasti mata anda terpegun melihat gaya penampilannya kerana ia tidak membosankan dan berkotak seperti model standard.
Jadi tanggapan untuk memanggil kereta kotak atau peti sejuk, perlulah dikikis oleh segelintir masyarakat kita kerana ia boleh menjadi cantik jika menerima sentuhan modifikasi.
Sebenarnya kenderaan segmen itu sangat popular di Jepun kerana menggunakan platfrom Mitsubishi Town Box Wide.
Proton Juara keluaran 2001 ini adalah kepunyaan Suffian Ibrahim Chooi, 33, yang bekerja sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Dia memilih Proton Juara kerana ia kenderaan yang ‘rare’ selepas hanya 3,000 unit dikeluarkan dari 2001 sehingga 2003.
Sufian berkata, projek baik pulih dan ubah suai itu mengambil masa tujuh bulan untuk disiapkan dengan menelan belanja hampir RM25,000.
“Proses modifikasinya sedikit mencabar kerana alat ganti kenderaan sukar untuk diperoleh, malah harganya pula boleh dikatakan mahal.
“Biarpun sukar mencari alat ganti itu, ia menjadi satu cabaran buat saya untuk menjadi kenderaan ini kelihatan sporty dan boleh dipandu seperti biasa,” katanya.
Melihat pada bahagian luarannya, konsep dipilih bertema sporty kerana mahu kelihatan berbeza berbanding gaya ubah suai penampilan V.I.P yang tampak biasa.
Bagi kelihatan sporty, bentuk luaran ditambah dengan kit badan lebar binaan khas dan spoiler Rocket Bunny, selain padanan bampar serta jeriji hadapan kustom.
Ia juga ditambah dengan saluran udara Mitsubishi Evo III pada bahagian bonet, manakala bampar pula dilengkapi model Nissan Skyline R32.
Pada bahagian bumbung, Proton Juara berkenaan dilengkapi ‘roof rail’ Ssangyong Rexton yang mana warna luarannya disembur cat kelabu seakan-akan Nissan Skyline R32.
Kenderaan itu direndahkan dengan menggunakan gegelung Gab dan pada masa sama kelihatan menarik selepas dipadankan rim Ray Engineering TE37V bersaiz 15 inci yang dibaluti tayar Bridgestone Potenza RE003.
Ruang kabinnya pula diperkemaskan dengan stereng Nardi Klasik dan sepasang tempat duduk separa bucket SSCUS Viper.
Pada bahagian papan pemuka diletak tiga meter untuk membaca tekanan minyak, suhu air dan voltan.
Ternyata bahagian kabinnya tampak kemas dan sangat bersih dengan kereta yang sudah berumur 17 tahun.
Berbicara pasal enjin, ia masih lagi menggunakan rangkaian kuasa asal yang bersesaran 1,100cc dengan transmisi automatik.
Namun, beberapa komponen ditambah untuk meningkatkan prestasi enjin membabitkan penapis udara K&N, kabel Bosch, kipas berkuasa tinggi Mishimoto dan palam pencucuh NGK Iridium IX.
Juga kelihatan kit penyejuk minyak HKS, hos Samco, penutup radiator dan minyak enjin jenama Ralliart.
Ia menerima sentuhan bengkel Sun-Tech Autowerkz dan Pitstop SS14 yang masing-masing terletak di Sunway serta Subang Jaya, Selangor.
Kenderaan itu juga menyertai beberapa kelab kenderaan tempatan membabitkan Kelab Juara Selatan (KJS), My Champy Juara Club (MYCJC) dan Vankulture.
Baca juga:
Must-Watch Video