Tempatan
Proton R3 bolot tempat 1, 2 dan 3 dalam perlumbaan kedua MSC 2019
Pasukan PROTON R3 (R3) menguasai Pusingan 3 Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) 2019 dengan merangkul kemenangan dua kali termasuklah mendapatkan tempat podium dengan menamatkan 1, 2 dan 3 dalam perlumbaan kedua.
Perlumbaan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu lalu, dengan setiap perlumbaan dijalankan selama satu jam yang menguji ketahanan kereta serta pemandu dan akhirnya membuktikan sekali lagi bahawa R3 adalah pasukan yang paling menonjol bagi dalam kelas M Pengeluaran.
Permulaan perlumbaan pada hujung minggu lalu tidak berpihak pada pasukan R3 kerana sesi kelayakan adalah tidak seperti yang dirancang.
Proton Suprima S yang dipandu oleh Mitchell Cheah layak di pole position, tetapi rakan sepasukannya Fariqe Hairuman dan Syafiq Ali yang memandu Proton Iriz dan James Veerapen dalam Proton Saga hanya berjaya mendapat tempat keempat dan kelima pada grid permulaan di mana mereka terus berusaha mengawal pengendalian yang sempurna.
Semasa perlumbaan, Proton Suprima S yang dipandu oleh Mitchell menguasai perlumbaan itu dan mengambil bendera untuk memberikan R3 satu lagi kemenangan kelas M-Pengeluaran dalam kejuaraan 2019.
Dua lagi kereta R3 mengakhiri perlumbaan di tempat keempat dan kelima, membuatkan pasukan itu perlu berusaha dengan lebih keras bagi mencapai kemenangan seterusnya pada hujung minggu itu.
Perlumbaan kedua diadakan pada hari Ahad dan dengan kedudukan permulaan berdasarkan pada kedudukan penamat dari perlumbaan pertama, ketiga-tiga kereta lumba PROTON R3 bermula pada kedudukan pertama, keempat dan kelima.
Walau bagaimanapun, apabila lampu mula dinyalakan, ketiga-tiga kereta dengan pantas mendahului di mana prestasi unggul pada Proton Suprima S, Iriz dan Saga memberikan pasukannya satu perlumbaan yang tidak dapat ditandingi.
Dengan menguasai perlumbaan kedua, R3 mengambil peluang sendiri untuk memaksimumkan mata yang dikumpul oleh pasukan mereka yang mendahului.
Oleh itu, pada perlumbaan itu, Proton Iriz yang dipandu Fariqe dan Syafiq yang pertama tiba di garisan penamat diikuti Mitchell dengan Proton Suprima S dan James di dalam Proton Saga.
Ia adalah kali pertama R3 menamatkan perlumbaan di kedudukan tiga teratas dan keputusannya meninggalkan Fariqe dan Syafiq hanya dua mata di belakang pemenang kejuaraan terkini untuk kelas M-Pengeluaran dalam Siri Kejuaraan Malaysia 2019.
Pengetua Pasukan PROTON R3, Gary Lee berkata, pusingan ketiga MCS adalah satu cabaran yang sukar untuk R3 ketika pihaknya berusaha untuk memaksimumkan mata di kedua-dua perlumbaan.
“Format perlumbaan selama satu jam pada hujung minggu lalu adalah satu peluang yang sangat baik untuk kami bekerja menonjolkan prestasi dan ketahanan kereta Proton dan hasilnya menunjukkan kami berada di landasan yang betul untuk memenangi gelaran juara keseluruhan.
“Ini juga menunjukkan kereta kami akan menjadi sebuah kereta yang hebat pada Sepang 1000KM (S1K) tahun ini, jadi ia adalah satu usaha yang hebat oleh semua yang terbabit,” katanya.