Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Proton Satria N/A ubah suai maksimum.

Public Anonymous User
13/06/2018 02:36 MYT
Membina jentera berkuasa bukannya mudah dan boleh menyebabkan mekanik buntu untuk memikirkan pelbagai formula terbaik bagi mencapai prestasi yang terbaik.

Tahukah anda, menaik taraf kenderaan untuk mendapatkan hasil terbaik, bukan calang-calang sentuhan yang mampu mendapatkan keputusan itu.

Biarpun padan komponen berprestasi, tetapi jika tidak kena caranya ia mungkin tidak memberi kuasa yang maksimum sekali gus merugikan masa serta wang anda.

Jika pernah mendengar nama Dragstar pastinya perhatian anda terus fokus pada jentera Proton Satria 1.8 drag mereka.

Namun, berbeza pula pada paparan kali ini. Ia bukannya jentera perlumbaan itu tetapi sebuah lagi jentera Proton Satria yang juga dari hasil tangan Arf Nan (Along Garage) serta di tala oleh pihak JO1 Racing.

Jentera yang dijana enjin berkod 4G93 pada jentera ini semestinya sudah dirombak keseluruhannya.

Omboh asal sudah digantikan dengan komponen lebih besar jenama CP berukuran 82.5mm yang dipegang oleh rod berjenama K1.

Keseluruhan gegalas (bearing) dalam enjin turut digantikan dengan jenama ACL Race bagi melancarkan lagi prosesnya.

Seperti biasa, kepala silinder sudah melalui proses ‘port and polish’ dan pada masa sama dipadankan aci sesondol Tomei 308° dengan spring injap serta ‘retainer’ daripada jenama sama. Ia kemudian diikatkan dengan pulley boleh laras Arospeed.

Sistem ambilan udara diperhebatkan dengan penggunaan intake dari jenama Edelbrock bersama-sama unit ‘throttle body’ S90 berukuran 76mm.

Bagi memastikan kadar udara yang memasuki intake lebih menyeluruh, kon tepi jalan jugalah yang menjadi mangsa ubahsuainya. Memang kreatif!

Sistem penyampaian bahan api diperkasakan lagi dengan penggunaan pam DW200 yang menyedut dari tangki utama.

Ia seterusnya dihantar ke pelaras Works sebelum memasuki ke rel dari jenama Golden Eagle lengkap dengan unit injector 450cc.

Selepas pembakaran berlaku di ruang kebuk, gas karbon monoksida ditolak keluar melalui ekstraktor binaan khas 4-1 yang diikatkan dengan paip ekzos tahan karat berukuran 2.5 inci serta peredam titanium Speed Factory.

Kuasa daripada enjin itu ke roda melalui kotak gear ‘full ratio’ lengkap dengan klac kepingan berkembar Quarter Master. Bunyinya sudah pasti sangat unik seakan-akan mahu pecah apabila klac ditekan.

Selain itu, talaan kuasa menjadi lebih bertenaga dan teratur dengan bantuan unit kawalan eletronik (ECU) LINK.

Bagi keselesaan dan corak pemanduan yang stabil, ia dipadankan sistem penyerap hentak boleh laras GAB dengan ‘pillowball’ keseluruhannya.

Kuasa hentian diperkuatkan sistem brek milik Satria GTi yang dipadankan bersama-sama pelapik brek Endless untuk bahagian depan dan belakang.

Jika lihat penampilan luarnya, ia tidak nampak garang atau berbisa kerana ia masih kekal dengan rupa Satria yang asal.

Cuma ia dihiasi dengan lips yang diambil dari Proton Putra, manakala bonet hadapan diambil daripada Mitsubishi Evo III.

Bahagian luarannya mungkin tampak sedikit menarik dengan padanan rim Volk Racing TE37 berukuran 15 inci yang dibaluti tayar Toyo Proxes R1R untuk hadapan, manakala belakang menggunakan Hankook Ventus V12.

Sementara itu, ruang dalaman tampak ringkas dengan padanan kerusi Reacro milik Satria GTi dipadankan dengan stereng Momo Corse bersama tombol gear Ralliart.

Meter oil press Works pula dilekatkan di bahagian penjuru cermin hadapan.

;