Proton Commerce Sdn Bhd (PCSB), sebuah syarikat di bawah Kumpulan PROTON menyediakan peluang kepada graduan baharu untuk memiliki kereta pertama dengan kadar pinjaman Sewa Beli (HP) yang rendah.

Lebih memudahkan, kempen itu hanya memerlukan satu surat pengesahan pekerjaan atau slip gaji selama sebulan sebagai syarat untuk mendapatkan pinjaman.

Bermula hanya 2.98 peratus, kadar yang ditawarkan oleh PCSB ini adalah antara yang terendah di dalam segmen itu setakat ini. Syarat-syarat utama yang diperlukan termasuklah mestilah seorang graduan (sekurang-kurangnya diploma), berumur antara 18-30 tahun dan mempunyai pekerjaan dengan gaji minimum RM1,500.


Kempen ini berlangsung sehingga 31 Disember 2020, seiring dengan penawaran jualan tanpa cukai bagi semua kereta Proton.

Ia diadakan bagi membantu mengatasi masalah mobiliti bagi mereka yang baru memasuki fasa pekerjaan. Halangan utama bagi pembeli di dalam segmen ini adalah untuk mendapatkan pinjaman jual beli tanpa mempunyai slip pendapatan selama tiga bulan, iaitu satu syarat biasa bagi mendapatkan pinjaman.

Ketua Pegawai Eksekutif PCSB, Mooi Fi Phang berkata, melihatkan kepada ekonomi ketika ini, mobiliti adalah sesuatu yang penting bagi anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan.

Menurutnya, kempen itu memberikan pemerkasaan dan autonomi kepada graduan-graduan tersebut dan kami yakin bahawa pakej ini akan membantu graduan baharu memiliki kereta, di mana bayaran semula hanya dari serendah RM239 sebulan.


“PCSB turut mengumumkan bahawa pada 7 Julai 2020, syarikat juga telah menurunkan kadar faedah penawaran keseluruhan sehingga serendah 2.22 peratus berdasarkan kredibiliti pelanggan dan margin kewangan.

“Ini bermaksud pelanggan akan mendapat keuntungan secara langsung di mana bayaran bulanan yang lebih rendah membolehkan mereka menggunakan simpanan terbabit untuk membeli barangan keperluan, dan membuat simpanan untuk kegunaan masa hadapan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai PCSB dan perkhidmatan yang disediakan, layari www.protoncommerce.com.