Watch

Proton terus kerjasama bersama Petronas Lubricants

Public Anonymous User
10/04/2019
04:27 MYT
Syarikat Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) melanjutkan lagi kerjasama mereka bersama PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM), anak syarikat PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) dan PETRONAS Lubricants International (PLI) selama sepuluh tahun, bagi menghasilkan serta menghantar produk-produk pelincir dan cecair-cecair berfungsi berkuatkuasa 1 Januari 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, PROTON dan PETRONAS bekerjasama sejak dahulu lagi, jadi tidak hairanlah sekiranya mahu melanjutkan tempoh perjanjian kerjasama itu.
“PROTON bakal menghasilkan pelbagai model baharu yang menarik dan kami sangat teruja untuk meneroka dengan lebih mendalam cecair-cecair teknikal dihasilkan bersama PETRONAS yang akan memberi manfaat kepada pelanggan kami," katanya.
Perjanjian Pembekalan, Teknologi, Komersial dan Kerjasama Global (STCCA) ditandatangani oleh Ruslan Islahudin iaitu Ketua Perniagaan Daerah APAC PLI, disaksikan Andrew Wong, Ketua Wilayah bagi OEM APAC, dan bagi pihak PROTON ialah Lim Meng Jin, Ketua Pegawai Perolehan PROTON, disaksikan Yusri Yusof, Pengarah Kanan Strategi Korporat.
Bagi Perjanjian Pembekalan dan Kerjasama Komersial Tempatan (LSCCA) pula, ianya telah ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Hardeep Singh yang mewakili PETRONAS dan disaksikan Pengurus Besar Jualan B2C, Gan Kher Yang, manakala bagi pihak PROTON adalah Pengarah Kanan Perolehan PROTON, Hamizan Osman.
Sesi menandatangani perjanjian ini disaksikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB dan Pengerusi PLMM dan PLI serta Giuseppe D'Arrigo, Ketua Pegawai Eksekutif PLI, Datuk Seri Syed Zainal Abidin. Pihak PROTON pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed.
Pada tahun 2019, PROTON berjaya mencapai peningkatan jualan yang didorong oleh jualan model Proton X70, SUV pintar pertama di Malaysia. Bagi tiga bulan pertama tahun ini, Syarikat mencatatkan bilangan jualan tertinggi antara mana-mana SUV di Malaysia dan terus mendapat tarikan daripada pembeli-pembeli kereta di Malaysia yang membuat tempahan lebih 25,000 unit setakat ini.
Meskipun baharu sahaja diperkenalkan, SUV pertama PROTON itu dibuktikan sebagai model popular disebabkan oleh teknologinya yang canggih, dilengkapi gaya kontemporari dan menarik serta mempunyai kualiti unggul yang telah diperiksa secara teliti oleh PROTON.
Syarikat juga melabur dalam rangkaian cawangan 3S/4S untuk menyediakan perkhidmatan premium kepada pelanggannya dan setakat ini Syarikat mempunyai bilangan cawangan yang paling tinggi berbanding mana-mana jenama automotif di Malaysia.
Sementara itu, Syed Zainal berkata, PETRONAS menjadi pembekal cecair rasmi kepada PROTON sejak 1989.
“Kami berbesar hati untuk mengembangkan lagi perkongsian ini kerana ini merupakan bukti jelas kepercayaan dan keyakinan PROTON terhadap produk dan perkhidmatan kami,”katanya.
Melalui perkongsian ini, PLI dan PLMM akan terus membekalkan pelbagai produk berkualiti untuk memenuhi keperluan kilang PROTON dan servis selepas jualannya, dengan menjadikan rangkaian PETRONAS Syntium SE sebagai produk utama.
Pelincir-pelincir dan cecair-cecair berfungsi PETRONAS dihasil berdasarkan pendekatan bersepadu PETRONAS Fluid Technology SolutionsTM, yang kini berada di tahap teras dalam kerja-kerja kejuruteraannya.
PETRONAS memanfaatkan pengetahuan dan pemahaman yang diperoleh melalui kemudahan R&D yang luas di seluruh dunia termasuklah Pusat Penyelidikan dan Teknologi Global bernilai USD$60 juta yang terletak di Villastellone Turin, Itali serta Pusat Penyelidikan dan Teknologi Satellite yang bernilai USD$8 juta di Contagem, Minas Gerais, Brazil.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video