Prestasi mantap, reka bentuk menawan, teknologi terkini, serta turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dan ketahanan terbukti dengan harga yang berpatutan adalah faktor yang menyumbang kepada kejayaan kenderaan penumpang dan SUV premium terlaris di Malaysia pada masa ini menerusi model Proton X70.

X70 menerima sambutan yang baik ketika ia mula diperkenalkan pada Disember 2018 sekali gus menjadikan SUV itu berjaya mencatat rekod pasaran Malaysia sebagai SUV paling banyak didaftarkan pada bulan sama pelancarannya.

Di samping itu, model berkenaan berjaya dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Malaysia 2019 serta SUV/Crossover Saiz Besar (dua barisan tempat duduk) di Anugerah Pilihan Editor Carsifu 2019. Berikut adalah sebab-sebab mengapa X70 layak menerima populariti yang dinyatakan ini.

Kecemerlangan yang dijanjikan
PROTON komited untuk bukan sahaja menumpukan pada aktiviti menaik taraf pusat servis sedia ada, malah turut memastikan supaya ia dikendalikan oleh barisan pekerja yang ramah dan berpengetahuan dalam menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Syarikat.

Usaha itu dapat dilakukan dengan melaksanakan Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang diamalkan oleh Geely. Melalui GCPA, PROTON dan Geely dapat mengenal pasti dan memperbetul sebarang masalah yang berkaitan dengan reka bentuk, kualiti alat ganti dan aspek pembuatan yang berkaitan dengan kereta sebelum ia dihantar ke pusat pameran. Kedua-dua Geely dan Volvo telah melaksanakan GCPA sebagai sebahagian daripada proses pembuatan di kilangnya.

Keputusan GCPA pada X70 adalah sangat jelas, sebuah SUV yang mempunyai kualiti dan kebolehpercayaan tertinggi. Malah, ini juga sudah terbukti apabila sembilan unit X70 berjaya menjelajah ke China dan kembali semula dengan menggunakan jalan darat di dalam satu program Malaysia-China Amazing Trip.

Tetap Menjadi Pilihan Utama
Setakat ini, Proton X70 kekal menjadi satu daripada produk paling menyerlah PROTON. Lebih 24,000 unit sudah diserahkan, menjadikan model SUV segmen C itu sebagai model paling laris di Malaysia.

Kepintaran Tiada Tandingan
Mengapa X70 begitu popular? Pertama sekali, teras utama X70 iaitu Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) adalah permulaan segalanya. Model itu dihasilkan dengan menumpukan pada kepintaran dan konektiviti, di mana sistem GKUI menawarkan pemilik X70 merasai pengalaman pemanduan yang kekal berhubung. Sistem GKUI boleh disambungkan ke rangkaian selular 4G untuk memuat turun dan memaparkan data semasa seperti cuaca dan navigasi.

Tetapi apa yang membuatkan GKUI lebih menarik adalah apabila sistem itu dapat memahami arahan suara dan melakukan pelbagai fungsi apabila mendengar kata kunci "Hi PROTON"! Melalui ciri ini, pemilik X70 boleh menggunakannya untuk membuka dan menutup tingkat kereta mereka, menguatkan dan merendahkan volum, memberi tunjuk arah ke pelbagai lokasi, dan banyak lagi. Ya, anda juga boleh mendapatkan bacaan cuaca semasa.

Prestasi yang memberi keterujaan
Proton X70 ini turut dilengkapi dengan prestasi yang memberangsangkan. Model SUV ini dikuasakan oleh enjin turbocharged 1.8L TGDi yang dikendalikan dengan transmisi automatik 6-kelajuan untuk memberikan kelancaran ketika dipandu di bandar dan dalam pada masa yang sama masih mampu mencapai kelajuan pelayaran di lebuh raya dengan mudah. Melengkapi enjin yang kuat ini adalah sistem suspensi talaan MIRA UK yang menyediakan pengalaman pemanduan selamat, selesa dan dengan NVH yang minima.

Keselamatan yang dipertingkat
Jika anda memandu atau berada di dalam X70, yakinlah bahawa anda berada satu kenderaan paling selamat pada hari ini. Model ini mendapat penarafan 5 bintang oleh ASEAN NCAP, dan yang meningkatkan lagi tahap keselamatan sedia ada ialah Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

Dengan kelebihan yang ada pada ADAS, X70 akan brek secara automatik jika ia mengesan sebarang kemungkinan perlanggaran di bahagian hadapan, secara automatik mengurangkan kelajuan untuk mengekalkan jarak selamat untuk kereta di hadapan apabila Kawalan Pelayaran Adiptif (ACC) diaktifkan, dan juga memantau persekitaran kereta melalui sistem kamera 360 darjah.

Ciri keselamatan lain yang ada pada X70 ini adalah Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, yang sentiasa memantau tekanan tayar dan pemandu dapat melihat maklumat tersebut melalui kombinasi meter LCD.

Semua ciri itu turut didatangkan dengan ruang dalaman hebat melalui rekaan hadapan yang halus dengan kombinasi meter LCD, kerusi kulit Nappa yang mewah dan sistem pembersih udara serta bumbung matahari.

Secara ringkasnya, X70 mengubah landskap pasaran SUV di Malaysia. Model ini bukan sahaja telah menaikkan jenama PROTON, tetapi ia juga membantu mengubah persepsi orang ramai terhadap PROTON. Dan melalui kerjasama dengan Geely telah membantu menaikkan lagi nama Syarikat di mana kini pembeli berpeluang memandu kereta yang dilengkapi dengan teknologi automotif termaju.