Selepas 14 bulan kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X70 versi import (CBU) memasuki Malaysia, akhir model itu dikeluarkan dengan versi pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran negara ini.

Versi CKD itu mula diperkenalkan selepas hampir 30,000 Proton X70 CBU dijual kepada rakyat tempatan serta ia turut memenangi pelbagai anugerah di negara ini pada tahun lalu.

Apa yang membezakan versi CBU dan CKD ini, adakah ia betul-betul berbeza? Untuk itu, drebar.my kupaskan setiap satu ciri perbezaan mengikut turutan untuk memudahkan anda mengetahuinya.

1.Pada bahagian luaran, boleh dikatakan ia tiada sebarang perbezaan dari segi bentuk dan rekaan pada Proton X70 ini. Jika tidak melihat secara teliti, anda mungkin tidak perasaan bahawa ia adalah model CKD.

Apa yang membezakannya adalah logo Proton. Model CKD ini menggunakan logo Proton baharu selepas dilancarkan pada tahun lalu dan ia boleh dilihat pada jeriji, rim dan bahagian cermin.

2. Bahagian dalaman, masih lagi sama dengan versi CBU, tetapi sudah dinaik taraf dengan tempat duduk penumpang hadapan dan pemandu yang mempunyai laluan angin penyaman udara.

Laluan angin penyaman udara itu berada di bahagian tempat duduk yang boleh dilaras tiga kelajuan angin pada sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI).

3. Tempat duduk belakang pula boleh diubah dua peringkat mengikut sudut 27 dan 36 darjah.

Berikutan itu, tempat duduk berkenaan boleh dilaras dengan posisi menegak dan condong sedikit berbanding biasa, sekali gus memberi keselesaan kepada penumpang belakang.

4. Bagi memudahkan pengguna membuka but belakang, Proton X70 ini dilengkapi pintu berkuasa automatik.

Ia boleh dibuka dan ditutup dengan mengesan pergerakan kaki pada bahagian bawah bampar belakang. But belakang berkuasa automatik itu juga mempunyai fungsi anti-tersepit, selain bukaannya boleh dilaras mengikut ketinggian.

5. Buka di bahagian bonet, enjin berkenaan dilengkapi penutup baharu. Penutup itu tertera dengan perkataan ‘Proton G-Power’.

Pada masa sama, ia masih menggunakan enjin 1.8 liter TGDI yang menyalurkan 181hp dan menerima pengiktirafan status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

6. Terakhir, enjin 1.8 liter TGDi itu kini dilengkapi dengan kotak gear baharu iaitu Transmisi Klac Berkembar (DCT) tujuh kelajuan automatik.

Padanan transmisi baharu itu membuatkan prestasi Proton X70 CKD lebih mantap dengan peningkatan tork sebanyak 15Nm dengan jumlah keseluruhan adalah 300Nm. Sebelum ini, ia menggunakan transmisi automatik enam kelajuan yang mana torknya hanya 285Nm.

Kelebihan DCT juga, tahap penggunaan bahan api lebih menjimatkan sehingga 13 peratus dengan bacaan puratanya adalah 7.6 liter bagi 100 kilometer. Malah, pecutan 0-100km/j lebih pantas, mencatatkan 9.5 saat berbanding model CBU hanya 10.5 saat, iaitu dengan perbezaan satu saat.