Tempatan
PROTON yakin jual 100,000 kenderaan pada tahun ini
PROTON terus menunjukkan lonjakan jualannya di mana Syarikat telah mencatat jualan sebanyak 9,503 pada bulan Oktober.
Jumlah kumulatif bagi 10 bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 79,833 unit (domestik + eksport), iaitu kadar pertumbuhan sebanyak 46 peratus dan merupakan pencapaian cemerlang walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) menurun sebanyak 1.3 peratus.
Pegangan pasaran pula dianggarkan pada 16 peratus, memperlihatkan kenaikan positif sebanyak 5.2 peratus berbanding tahun lalu.
PROTON juga mempertahankan posisinya di kedudukan kedua dalam jualan keseluruhan, di mana Syarikat yakin dapat mengekalkan kedudukan tersebut sehingga akhir tahun ini.
Proton X70 terus mencatatkan jualan yang cemerlang bagi 10 bulan berturut-turut di mana model tersebut telah mengekalkan kedudukan jualannya yang teratas sebagai SUV premium dan eksekutif.
Setakat ini, lebih 24,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan, di mana jumlah tersebut telah menjadikan model itu sebagai SUV segmen C terlaris dan membuktikan model itu kekal menjadi pilihan pembeli.
Dilancarkan pada 6 Ogos 2019, Proton Saga 2019 ternyata menjadi model paling popular. Lebih 28,000 tempahan diterima setakat ini dan pada bulan Oktober, model tersebut telah mencatatkan jualan paling tinggi selama tempoh empat tahun.
Sebanyak 4,273 unit dijual pada bulan lepas dan bagi 10 bulan pertama tahun ini, jumlah kumulatif adalah sebanyak 30,331 unit, iaitu peningkatan sebanyak 26% berbanding tahun sebelum ini.
Begitu juga model Exora, Iriz dan Persona yang turut menunjukkan peningkatan jualan dan secara keseluruhan setakat ini, jualan bagi ketiga-tiga model itu beserta Saga telah meningkat sebanyak 21peratus pada tahun ini.
Model- model tersebut juga telah menyumbang 78 peratus daripada jumlah jualan PROTON pada bulan Oktober dan bagi jumlah keseluruhan pula adalah sebanyak 68 peratus.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, segala kerja keras sudah membuahkan hasil dan pihaknya yakin dapat menjual 100,000 unit kereta pada tahun ini.
Must-Watch Video