Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Watch

Puas hati memiliki Evo VIII

Public Anonymous User 16/10/2018 | 04:19 MYT
Sekali pandang, mungkin tidak puas untuk melihat Mitsubishi Evolution (Evo) VIII yang berwarna hijau muda ini. Mana tidaknya, penampilanya cukup menarik serta warnanya membuatkan ramai yang tertarik memandangnya.

Bagaimanapun, jentera hebat ini dimiliki seorang pemuda yang ‘gila’ terhadap jentera berprestasi lebih-lebih lagi keluaran dari negara matahari terbit. Biarpun usia yang muda, gaya ubah suai pada jentera itu sebenarnya cukup matang dan hebat selepas dimodifikasi.

Jentera hijau yang anda lihat ini sememangnya sangat mantap berikutan semua komponennya dinaik taraf supaya lebih hebat berbanding asalnya.

Jika melihat pada ruang enjinnya, sudah pasti membuatkan anda terpegun kerana banyak komponen berprestasi yang digunakan. Di ruang itu, anda boleh melihat komponen turbo Garrett AR70 yang digunakan, selain beberapa barangan lain seperti blow-off GReddy, wastegate Tial dan oil catch tank Cusco.

Bagi melancarkan kemasukan udara, ia diperkuatkan dengan penapis jenama Apexi. Malah penggunaan pendikit badan Super 90 memastikan udara disedut masuk ke dalam bahagian ambilan manifold rekaan Tonnka dengan lebih sempurna.

Kelancaran aliran petrol pula dibantu pelaras milik Works serta petrol bahan api dari HKS yang sudah terbukti kualitinya.

Malah, prestasinya diperkuatkan lagi dengan sistem klac kepingan berkembar OS Giken STR bagi memberi kuasa tujahan lebih padu dan mantap. Prestasinya lebih menyerlah selepas menggunakan sistem elektronik Motec M800 untuk memberikan talaan yang lebih sempurna keseluruhannya.

Jika enjin dihidupkan, gas karbon yang terhasil dari kebuk pembakaran ditolak keluar melalui sistem ekzos jenama HKS, selain ditugaskan untuk menyalurkan bunyi garang berbanding biasa. Enjin yang sudah diubah suai itu, sudah pasti lebih cepat panas dan bagi mengurangkannya ia dipadankan dengan radiator AVS.

Bagi jentera yang berkuasa, sistem brek harus dipertingkatkan untuk keselamatan. Oleh itu, Mitsubishi Evo VIII berkenaan menggunakan rotor Dixcel dipadankan bersama pelapik Endless untuk mencengkam lebih mantap.

Penampilan luar pula kelihatan bergaya dengan penggunaan kit badan Varis merangkumi bumper hadapan, laluan udara dan skirt sisi. Dapra sisi dan belakangnya pula diperkemaskan kit badan Voltex, selain padanan cermin sisi Ralliart supaya tampak lebih ‘macho’.

Pada masa sama, ketinggian jentera dilaraskan mengikut kesesuaian melalui sistem penyerap hentak boleh laras jenama BC. Rim P1 Racing berukuran 17 inci yang turut dibaluti tayar Toyo Proxes R888, berjaya membuatnya kelihatan lebih hebat keseluruhannya.

Sementara itu, ruang dalaman masih lagi kekal dengan asal. Cuma beberapa peralatan elektronik ditambahkan untuk pemantauan pergerakkan enjin antaranya Defi ZD, Defi Controller, HKS EVC, pemasa turbo HKS serta pemain audio Pioneer. Karpet Caro turut dipakaikan untuk memberi lebih keceriaan bahagian dalam jentera ini.

Jika anda mempunyai kereta ubah suai dan mahu berkongsi dengan kami. Anda boleh menghantar pesanan kepada kami melalui Facebook Page Drebar.my.

;